• Tiada keperluan untuk cabar Abdul HadiAhmad (kiri) melihat koleksi gambar Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada sambutan Jubli Perak Membangun Bersama Islam, hari ini. Foto Sinar Harian oleh KHIRU SHALEH ABDULLAH
 1 / 1 
KOTA BHARU - Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Ahmad Yakob berpendirian jawatan Presiden yang disandang Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak perlu dicabar.

Ahmad berkata,  walaupun dalam perlembagaan jawatan tersebut boleh dipertandingkan namun  keperluan Abdul Hadi sebagai peneraju parti masih tinggi.

"Kalau boleh tidak perlu dicabar kerana kedudukan presiden sendiri sebagai kepimpinan kedua ulama.

"Jadi amat sesuai (Abdul Hadi) mempengerusikan atau mengetuai sebuah parti Islam yang mana beliau boleh berhadapan dengan semua keadaan di peringkat negeri kebangsaan dan sebaginya," katanya kepada media hari ini.

Terdahulu beliau merasmikan sambutan Jubli Perak Membangun Bersama Islam Peringkat Negeri Kelantan di perkarangan Stadium Sultan Muhammad IV.

Ahmad yang juga Menteri Besar Kelantan memberitahu pandangan tersebut bukan disebabkan ketiadaan pimpinan lain yang layak untuk memegang jawatan itu.

"Ada kepimpinan yang layak tetapi buat masa ini kita lihat keperluan kepada Presiden (Abdul Hadi) adalah keutamaan kita," katanya.