• Mahkamah
1 / 1
KOTA BHARU - Satu saman pemula difailkan Gerakan bagi memohon deklarasi pembatalan Kanun Jenayah Syariah II, di Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini.

Saman difailkan plantif yang diwakili tiga ahli Gerakan negeri, Tuan Mat Tuan Wil, Soh Hoon Lee serta Chun Mon Sie melalui Tetuan N. S. Leong dan S. T. Low di Pejabat Pendaftar mahkamah itu, pada jam 10 pagi.

Mereka menamakan Kerajaan Kelantan sebagai defendan.

Dalam saman itu, mereka memohon pengisytiharan mengikut Artikel 76 dan 76 (A) Perlembagaan Persekutuan bahawa Kanun Jenayah Syariah II adalah batal dan tidak sah kerana bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Mereka juga memohon deklarasi bahawa Rang Undang-Undang Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) yang bakal diluluskan Dun Kelantan hari ini adalah menyalahi undang-undang, batal dan tidak sah juga kerana bertentangan dengan Perkara 4 (1) Perlembagaan Persekutuan.

Antara alasannya, Dun Kelantan tidak mempunyai kuasa untuk membuat sebarang undang-undang seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

[ARTIKEL BERKAITAN: Dun Kelantan sedang bahas pindaan Kanun Syariah II]

Timbalan Ketua Pemuda parti itu, Andy Yong berkata, permohonan tersebut adalah langkah awal bertujuan menghalang pembentangan rang undang-undang persendirian di Parlimen untuk meminda Perkara 76 (A) (1) Perlembagaan Persekutuan bagi memberi kuasa kepada Kelantan untuk melaksanakan hudud.

“Kerajaan negeri memulakan langkah pertama mereka dengan membentangkan rang undang-undang Kanun Jenayah Syariah II 1993 pindaan 2015, pada hari ini, sehubungan itu, kami juga turut mengambil langkah pertama dengan membawa perkara ini ke mahkamah.

"Pada masa sama, kami akan menyerahkan saman pemula ini kepada defendan di Pejabat Kerajaan Negeri di Kompleks Kota Darulnaim hari ini juga,” katanya.