• Ahmad YakobAhmad Yakob
 1 / 1 
KOTA BHARU – Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berharap Adun BN yang akan mengikuti sidang Dun Rabu ini akan menyokong pindaan kepada Enakmen Kanun Jenayah Syariah II itu nanti.

Menurutnya, sokongan tersebut amat diperlukan bagi memastikan kelancaran perjalanan untuk melaksanakan undang-undang tersebut.

“Kita harap Adun BN pun sokong kita, masa bentang sebelum ini pun 39 orang, dua dari BN, harap selepas ini jumlah penyokong (dari BN) akan bertambah, Insya-ALLAH kita doakan yang terbaik untuk pelaksanaan hukum ini,” katanya ketika menyampaikan ceramah di Taman Sari, Pengkalan Chepa, malam tadi.

Turut hadir, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Ahli Parlimen Pasir Mas, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz, calon PRK Dun Chempaka, Ahmad Fathan Mahmood dan kepimpinan tertinggi negeri.

Menurutnya, kerajaan Pas Kelantan akan membentangkan pindaan kepada beberapa klausa termasuklah klausa yang menyatakan orang bukan Islam tidak akan terlibat dalam hukum Islam itu.

Beliau yang juga Pesuruhjaya Pas Kelantan turut menjelaskan berhubung kepentingan pindaan undang-undang Islam itu dilakukan sebelum pelaksanaannya dibuat.

“Bak kata arwah Tok Guru Nik Aziz, kita hidupkan enjin dan bergerak sampai ke lampu isyarat, merah, kita berhenti dahulu, jangan matikan enjin, sama juga dengan hudud, kita buat dan bentang, ada halangan, kita berhenti dulu, tapi enjin masih hidup, maka sekarang bila lampu hijau, kita tidak boleh masih di situ (lampu isyarat) nanti kena langgar belakang, maka kita pun masuk lah ‘gear’ balik, itulah yang berlaku pada hudud sekarang.

“Tidak kurang juga yang bertanya, kenapa perlukan pindaan, saya bagi contoh, kita buat rumah, semua kelengkapan sudah ada, tetapi kita tidak dapat mendiami rumah itu sebab elektrik tidak ada, maka kena tunggu dulu, mungkin sampai bertahun-tahun, maka bila elektrik sudah ada, kita mungkin terpaksa cat balik rumah itu, baiki balik ruang-ruang yang mungkin boleh dibesarkan lagi, sebab kita tinggal terlalu lama, walaupun ia baru, tapi tetap kena baiki balik, itulah pindaan yang kita maksudkan dalam hudud ini,” katanya.

Ahmad berkata, perjuangan pelaksanaan hukum tersebut perlu diteruskan dan ia merupakan harapan seluruh kepimpinan negeri dan juga rakyat Kelantan yang mahukan kadar jenayah dapat dikurangkan dengan terlaksananya hukum Islam.