• Tengku Razaleigh Hamzah Tengku Razaleigh Hamzah
1 / 1
KUALA LUMPUR - Seorang ahli Parlimen meminta kerajaan memberi penjelasan telus mengenai hutang negara kerana bimbang status kewangan itu kemungkinan berpotensi mencetuskan krisis politik dan ekonomi domestik.

Tengku Razaleigh Hamzah (BN-Gua Musang) berkata berdasarkan keadaan ekonomi global yang tidak menentu kini, beliau meminta penjelasan diberi di Dewan Rakyat secara terperinci.

"Tidak dapat dinafikan bahawa kedudukan hutang negara akan tentukan keadaan dan kestabilan ekonomi kita. Mutu dan gaya hidup rakyat bergantung kepada dua perkara ini.

"Yang saya maksudkan dengan hutang negara ialah hutang kerajaan, hutang sektor korporat dan hutang isi rumah," katanya ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah, di Dewan Rakyat, hari ini.

Datuk Seri Najib Tun Razak dalam jawapan bertulis kepada William Leong Jee Keen (PKR-Selayang) 11 Mac lalu, berkata jumlah hutang Kerajaan Persekutuan pada akhir Disember 2014 adalah sebanyak RM582.8 bilion daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Perdana Menteri berkata daripada jumlah itu, RM566.1 bilion adalah hutang domestik manakala baki RM16.8 bilion pinjaman luar pesisir.

Tengku Razaleigh juga menyuarakan kerungsingannya terhadap penggunaan dana Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) untuk membantu institusi-institusi kewangan yang terlibat dalam pemberian pinjaman kepada perbadanan-perbadanan tertentu.

Beliau meminta penjelasan daripada Kementerian Kewangan mengenai kedudukan KWSP dan KWAP serta jumlah pelaburan dana di dalam institusi kewangan yang dibebankan dengan pemberian pinjaman.

Tengku Razaleigh turut mengulangi pendiriannya agar pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan, yang akan bermula 1 April nanti, ditangguhkan berikutan keadaan ekonomi semasa.

Beliau juga mengusulkan tindakan pengisytiharan harta dan liabiliti merangkumi Ahli Kabinet dan Ahli Parlimen, dahulu dan sekarang, serta mereka daripada sektor awam dan swasta di peringkat mempunyai kuasa membuat keputusan, dalam menangani isu berkaitan percanggahan kepentingan. 

"Pengisytiharan ini hendaklah dibuat secara berkala dan disimpan oleh sebuah badan bebas yang diwujudkan melalui Akta Parlimen," katanya. - Bernama