• Liwat II: G100 desak Majlis Peguam nyata pendirianSidang media oleh G100 di sebuah hotel, hari ini. Foto Sinar Harian oleh NIZAM ZAIN
 1 / 1 
KUALA LUMPUR - Sekumpulan peguam yang menggelar diri sebagai G100 hari ini mendesak Majlis Peguam Malaysia menyatakan pendirian terhadap usul ahli Parlimen PR yang menghina hakim dan Mahkamah Persekutuan dalam penghakiman kes liwat II.

Jurucakapnya, Tan Sri Abdul Aziz Abd Rahman mendakwa badan guaman itu bagaikan "berpeluk tubuh" kerana tidak memberi sebarang respon terhadap penghinaan itu di Parlimen, baru-baru ini.

"Kita sebagai peguam, kita kena jaga maruah peguam, tidak boleh hina mahkamah apatah lagi Mahkamah Persekutuan.

"Sebagai peguam, kita kena bantah penghinaan mahkamah kerana mereka adalah badan yang sesuai untuk menentang penghinaan itu oleh ahli Parlimen pembangkang walaupun itu hak mereka," katanya pada sidang media di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Abdul Aziz berkata demikian merujuk kepada usul yang difailkan di Parlimen pada Rabu oleh Ahli Parlimen PR untuk mengecam lima Hakim Mahkamah Persekutuan di dalam kes Liwat II Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Usul itu yang diketuai oleh Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul itu menuntut agar kelima-lima panel hakim yang terlibat menjatuhkan hukuman bersalah ke atas Anwar agar dibahaskan di Parlimen.

Sementara itu, Abdul Aziz juga mengulangi desakan terhadap Presidennya, Christopher Leong berhubung reaksi beliau terhadap penghakiman kes liwat II ketua umum PKR itu.

"Saya tidak faham dia (Christopher) kena bawa (kenyataan dia) dan bincang dalam mesyuarat agung Majlis Peguam esok.

"Apa yang disebutnya jelas bertentangan dengan undang-undang dan kita akan tengok macam mana keputusan mesyuarat itu," ujarnya.

Dalam pada itu, katanya G100 tidak mempunyai sebarang kepentingan dalam kes liwat II dan desakan mereka itu semata-mata untuk membetulkan keadaan.

"Kita tiada kena mengena (dengan kes liwat II), sama ada betul atau tidak, itu bukan masalah kita sebab kita sendiri ada beribu kes hendak diselesaikan.

"Cuma kita kesal Majlis Peguam tidak buat apa-apa kerana tugas mereka hendaklah menjaga kepentingan, maruah dan integriti mahkamah dan sebab itu kita minta mereka bergerak," katanya lagi.

Mengikut Common Law, mana-mana pihak yang menghina mahkamah, mereka boleh dikenakan tindakan undang-undang termasuk hukuman penjara.

Bagaimanapun, bentuk hukuman itu bergantung kepada budi bicara mahkamah yang munasabah.