• Mohd Amar Nik Abdullah Mohd Amar ketika ditemui di JKR 10, semalam. - FOTO: ZAM UKMB
 1 / 1 
KOTA BHARU - Timbalan Pesuruhjaya I Pas Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah bakal mempertimbangkan bertanding jawatan Timbalan Presiden Pas jika dicalonkan.

Namun begitu, menurutnya, ia terpulang kepada perwakilan untuk menentukannya memandangkan setakat ini Pas Kawasan Kota Bharu sahaja yang sudah adakan mesyuarat, minggu lalu.

“Setakat ini tidak ada lagi (pencalonan), terlalu awal untuk mengulas perkara ini,” katanya kepada media di JKR10, di sini semalam.

Terdahulu, beliau menghadiri Mesyuarat Pas Pusat yang turut dihadiri Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Timbalan Mursyidul Am, Datuk Ahmad Yakob; Setiausaha Agung, Mustafa Ali dan kepimpinan pusat serta negeri parti Islam itu.

Mengulas dakwaan Pengerusi Biro Undang Undang DAP, Gobind Singh Deo bahawa draf pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II  dikemukakan ketika mesyuarat PR adalah baharu secara keseluruhannya, Mohd Amar, yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan, menafikannya.

Beliau sebaliknya menjelaskan, pemimpin DAP itu mungkin melihat perkara tersebut dari sudut format pindaan yang dilakukan terhadap beberapa klausa terutama mengenai penguatkuasaan undang-undang Islam tersebut kepada orang bukan Islam.

“Beliau melihat dari sudut format, format rang undang-undang itu memang kelihatan seperti baharu tetapi sebenarnya itu adalah pindaan kepada undang-undang diluluskan pada 1993.

“Cuma format berbeza dengan pindaan biasa dan kita pun telah bincangkan dengan penasihat undang-undang sendiri, ia tidak menjadi masalah, aspek isunya sangat teknikal,” katanya.

Beliau turut ditanya mengenai kesediaan Pas untuk menangguhkan pelaksanaan enakmen tersebut sebagaimana dicadangkan parti komponen PR, namun katanya, tiada perkara yang menyebabkan pembentangan tersebut perlu ditangguhkan.

“Pindaan yang besar hanya tiga dan yang lain itu taktikal sahaja, pada kita (Pas), inilah (pindaan baharu) yang lebih baik, yang asal mungkin ada kepayahan sedikit, maka kali ini kita mempermudah. Alhamdulillah, (pindaan) sudah sedia untuk dibentangkan 18 Mac nanti,” katanya.