• Pas
1 / 1
SHAH ALAM - Ahli Majlis Syura Pas, Zaharudin Muhammad menyangkal dakwaan parti itu sedang mengalami masalah besar seperti yang digambarkan beberapa pemimpinnya.

“Saya tidak setuju bila sebut Pas bermasalah kerana ia digambarkan seolah-olah 50 peratus jentera dan ahli Pas bermasalah.

“Bagi saya yang turun ke kawasan di seluruh negara, saya berpendapat masalah tak sampai lima peratus daripada jumlah keseluruhan,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Selain itu, beliau menegur Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Hanipa Maidin yang dilaporkan berkata ulama Pas tidak memperjuangkan isu semasa seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Akta Hasutan, dan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebaliknya terlalu menumpukan kepada hudud.

“Persoalan saya, Hanipa faham atau tidak bahawa masalah berbangkit daripada isu ISA, Akta Hasutan dan 1MDB akan dapat diselesaikan dengan undang-undang Islam?

“1MDB akan dapat diselesaikan dengan takzir sebagai pelengkap kepada kesalahan ghillah dan beberapa kesalahan muamalat pengurusan negara,” katanya.

Menurutnya, Pas sentiasa memperjuangkan isu rakyat yang lebih menyeluruh dan bukannya hanya melibatkan segelintir golongan terutamanya ahli politik.

"Kalau Hanipa nak berjuang isu-isu politik tak salah, tetapi jangan salahkan orang yang perjuangkan isu rakyat seperti hudud bagi mencegah kecurian, keamanan, hilangkan ketakutan rakyat dan lain-lain," tegasnya.