• Rafizi Rafizi
1 / 1
SHAH ALAM – Biro Politik PKR sebulat suara akan menyatakan pendirian parti itu sebaik sahaja pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 dibentangkan Kerajaan Kelantan pada sidang Dun Kelantan, hari ini.

Setiausaha Agungnya, Rafizi Ramli menegaskan selepas pendirian itu dikeluarkan nanti, semua pemimpin parti itu perlu merujuk dan akur kepada ketetapan tersebut.

“PKR akan keluarkan kenyataan selepas pindaan enakmen dibentangkan di Dun Kelantan.

“Pimpinan parti akan merujuk kepada ketetapan dan pendirian parti melalui kenyataan itu,” katanya dalam grup aplikasi Whatsapp, lewat malam tadi.

Kerajaan Kelantan hari ini membentangkan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) di Dun Kelantan hari ini selepas ia ditangguhkan pada Disember lalu susulan banjir besar yang melanda negeri itu.

Seramai 45 Adun Kelantan akan mendengar pindaan enakmen itu dan seterusnya membuat undian sama ada menolak atau menyokong enakmen itu bagi membolehkan Kerajaan Negeri Kelantan melaksanakan hukum hudud di negeri itu.

Kerajaan Kelantan dilihat berdepan laluan mudah untuk meluluskan pindaan enakmen berkenaan berikutan 32 daripada 45 Adun adalah daripada Pas manakala 12 lagi Umno dan seorang lagi PKR.