• ABDUL HADI AWANG
 1 / 1 
SHAH ALAM - Pas Kawasan Kuala Langat dan Sabak Bernam menyatakan sokongan terhadap kepimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang bagi mengekalkan jawatannya sebagai presiden parti itu pada pemilihan Pas, Jun depan.
   
Kedua-dua kawasan itu turut mencalonkan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man sebagai calon Timbalan Presiden dalam Mesyuarat Agung Tahunan yang berlangsung hari ini.
   
Yang Dipertua Pas kawasan Kuala Langat Datuk Dr Ahmad Yunus Khairi berkata, Abdul Hadi dilihat calon yang layak dan disebabkan faktor itu beliau masih diberi kepercayaan penuh untuk memimpin parti.
  
"Kawasan Kuala Langat masih lagi mahu mengekalkan kepimpinan Datuk Seri Abdul Hadi sebagai presiden apabila sebulat suara memilih beliau dalam mesyuarat hari ini," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
  
Pas Kawasan Kuala Langat turut menamakan Pesuruhjaya Pas Selangor Datuk Iskandar Samad sebagai calon naib presiden dan dua calon lain iaitu Idris Ahmad dan Nasarudin Hassan Tantawi.
  
Sementara itu, Pas kawasan Sabak Bernam mencalonkan Sallehuddin Ayub untuk terus kekal sebagai naib presiden parti.
  
Yang Dipertua Pas kawasan Sabak Bernam Sallehen Mukhyi berkata selain Sallehuddin calon lain yang diundi ialah Iskandar dan Nasarudin. - Bernama