• Abdul Hadi AwangHadi Awang
 1 / 1 
AMPANG - Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menzahirkan keyakinan bahawa pemilihan Pas pada Jun ini bersih tanpa dicemari dengan sebarang kempen kotor.
 
Jelas beliau, ini berdasarkan  ‎prinsip parti yang amat mementingkan pencalonan pemimpin yang bersih.
 
‎"Insya-ALLAH tak ada kotor. Siapa yang buat kotor kita takkan pilih," katanya dalam sidang media, di sini, hari ini.
 
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pas, Asmuni Awi sebelum ini bahawa  kempen kotor dalam pemilihan parti itu bukan lagi rahsia.
 
Bagaimanapun, Asmuni tidak menolak kemungkinan situasi itu didalangi pihak luar yang ingin mengambil kesempatan.
 
‎Dalam pada itu,  mengulas mengenai kenyataan Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Khalid Abdul Samad bahawa kepimpinan baru parti yang akan dipilih dalam pemilihan kelak perlu lebih baik, Abdul Hadi berkata, beliau bersetuju dengan pendapat itu.
 
"Memang kita nak lebih baik. (Kepimpinan) yang sedia ada sudah baik, jadi yang baru kena lebih baik lagi," katanya.
 
Abdul Hadi juga turut menafikan bahawa pemilihan Pas kali ini menjadi medan pertembungan ulama dan profesional sehingga menimbulkan permusuhan dua golongan tersebut.
 
"Itu hanya laporan media. Saya tak lihat kekecohan seperti yang digambarkan (oleh media)," katanya.