• Abdul Hadi AwangHadi Awang
 1 / 1 
KUALA LUMPUR - Jumlah bayaran cukai yang dikenakan kepada golongan kaya didakwa lebih rendah berbanding jika mereka memberi rasuah untuk mendapatkan projek segera daripada kerajaan.

Demikian kata Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sambil menegaskan orang kaya didakwa punca kepada berleluasanya jenayah tersebut.

"Berlakunya rasuah, (kerana) mereka orang-orang rasuah ini, orang kaya dia boleh bagi rasuah maka dia wajib bayar cukai.

"Barangkali kalau bayar cukai yang mengaitkan orang kaya lebih murah daripada bayar rasuah," katanya ketika berucap pada Himpunan Derita Rakyat (Hindar) anjuran Dewan Ulama Pas Pusat di Padang Merbok, di sini, malam tadi.

Mengulas lanjut, Abdul Hadi juga menegaskan supaya kerajaan perlu memanfaatkan sumber kekayaan negara dengan sebaiknya dan tidak mengutamakan projek mewah yang tidak memberi manfaat kepada rakyat.

"Manfaatkan sumber hasil bumi yang ada dengan baik, jangan bocorkan, kita tidak lupa stadium runtuh...kita tidak lupa bangunan runtuh...jambatan runtuh...mahal pun runtuh...projek segera yang tidak mengikut peraturan-peraturannya," ujarnya.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Marang itu juga menggesa supaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diberikan kuasa untuk bertindak tegas, bebas dan tidak dipengaruhi dengan pengaruh politik.

"Hentikan projek-projek mewah, di sana banyak. Projek-projek mewah, projek yang tidak memberi pulangan kepada rakyat khususnya rakyat miskin," dakwanya.

Tambah beliau, dalam menangani masalah ekonomi, cukai bukan penawar kepada kemelut tersebut malah ia boleh menyebabkan inflasi dan kenaikan harga barang.

"Bukan mengenakan cukai yang baharu kepada kepada rakyat, cukai bukan ubatnya.

"Cukai boleh menyebabkan inflasi, menyebabkan kenaikan harga barangan, jangan cakap tak apa ...tak apa..kesannya akan berlaku inflasi," katanya lagi.