• Bimbang anak kebuluran jika tak dibawa keluar
 1 / 1 
BANDAR BAHARU - Bapa pelajar Muhammad Wafiy Azizi Abd Aziz, 16, yang terperangkap di Aden, Yaman bimbang dengan keadaan anaknya yang kekurangan bekalan makanan.

Menurut Abdul Aziz Abu Bakar, 48, anaknya bersama rakan lain masih terperangkap di dalam masjid di kawasan Aden tempat mereka menuntut.

Katanya, maklumat terkini yang diterimanya melalui Lukman Mansor, 20, iaitu rakan anaknya memberitahu, bekalan makanan semakin berkurangan.

“Saya bimbang dengan keadaan anak dan pelajar lain di sana kerana kedai untuk mendapatkan bekalan juga sudah musnah dan ditutup kerana penduduk di kawasan itu berpindah ke tempat lain.

“Saya harap kerajaan segera selamatkan mereka yang masih terperangkap kerana sekarang keadaan telah reda namun tak tahu sampai bila,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Bagaimanapun, dia bersyukur keadaan anak dan rakan-rakannya itu sihat serta tidak mengalami sebarang tekanan.

“Alhamdulillah anak saya sihat begitu juga rakan yang lain, saya harap keadaan kembali pulih dan mereka tidak diapa-apakan,” katanya.

[ARTIKEL BEKAITAN: 'Tolong keluarkan kami segera']

Isterinya, Rosmah Mustaffa, 46, berkata, walaupun bimbang dengan keadaan anak mereka, namun maklumat yang diterima melegakan mereka sekeluarga.

“Setakat ini anak saya sentiasa berhubung dengan kami, selain  ketua pelajar mereka di sana juga sentiasa memaklumkan keadaan mereka di sana.

“Saya yakin kerajaan juga sedang berusaha untuk memastikan anak saya serta rakyat Malaysia yang berada di sana selamat dan dibawa pulang segera sekiranya keadaan negara itu terus meruncing,” katanya.

Rosmah berkata, ucapan kata semangat yang diberikan waris pelajar terlibat juga memberi kekuatan kepadanya.

“Kata rangsangan daripada ibu bapa pelajar lain mendorong saya untuk bersabar dan berdoa supaya mereka semua selamat,” katanya.