• Facebook
1 / 1
GEORGETOWN - Polis bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk mengesan pemilik sebenar satu akaun Facebook yang memuat naik status menghina Islam dan Raja-Raja Melayu.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Faridalatrash Wahid berkata lelaki yang dikatakan pemilik akaun itu membuat laporan polis tengah malam tadi selepas rumahnya dilempar batu dipercayai berpunca daripada status yang telah menjadi viral di laman sosial itu.

Beliau berkata siasatan awal polis mendapati lelaki berusia 43 tahun itu memang mempunyai satu akaun Facebook tetapi dia tidak memuat naik sebarang status yang membangkitkan kemarahan orang Melayu dan umat Islam itu.

"Sebaliknya siasatan awal polis mendapati wujud satu lagi akaun Facebook yang menggunakan gambar serta profil lelaki berkenaan yang baru dibuka 10 April lepas," katanya di sini hari ini.

Status Facebook itu dikatakan memuat naik kata-kata kesat ekoran tidak berpuas hati dengan laungan azan yang didakwa mengganggu kehidupan penulis status itu dan menghina Raja-Raja Melayu.     

Mior Faridalatrash berkata, sehingga kini 19 laporan polis diterima daripada pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik berhubung kenyataan di laman sosial itu.

Terdahulu, Pemuda Umno Pulau Pinang, Umno Bahagian Bukit Bendera dan Perkasa Pulau Pinang membuat laporan polis berhubung status di akaun Facebook itu.

Laporan polis itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut oleh Ketua Pemuda Umno Pulau Pinang, Rafizal Abdul Rahim, Timbalan Ketua Umno Bahagian Bukit Bendera, Abdul Jalil Arifin dan Ketua Wira Perkasa Pulau Pinang, Mohd Rizuad Mohd Azudin.

Bercakap kepada pemberita selepas membuat laporan polis itu, Abdul Jalil berkata mereka meminta polis dan SKMM mengambil tindakan segera terhadap pemilik akaun Facebook itu. - Bernama