• Razman Zakaria Razman Zakaria
1 / 1
IPOH - Pas Perak tidak mempunyai kuasa membuat siasatan lanjut berhubung kewujudan surat layang mahu Timbalan Pesuruhjaya Pas Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin disingkirkan daripada jawatan Yang Dipertua (YDP) Pas Kawasan Kampar.

Pesuruhjayanya, Razman Zakaria berkata, siasatan hanya boleh dilakukan oleh Jawatankuasa Pemilihan Pas Pusat selaku badan yang dilantik untuk mengendalikan pemilihan berkenaan.

“Kita di peringkat negeri tak boleh lakukan apa jua tindakan termasuk siasatan (surat layang).
“Perkara itu sepatutnya dilaporkan kepada Jawatankuasa Pemilihan Pas Pusat yang diketuai oleh Asmuni Awi,” katanya, ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Razman berkata, beliau juga tidak mengetahui dalang di sebalik penyebaran surat layang itu meskipun ada segelintir pihak yang berpendapat ianya dilakukan ahli Pas sendiri.

“Saya tak boleh nak ulas lanjut namun kita juga tak boleh tanpa usul periksa menuduh mana-mana pihak,” katanya. 

Selain itu, beliau berkata, isu berkaitan penyebaran surat layang itu tidak harus disensasikan memandangkan saf kepimpinan baharu Pas Kawasan Kampar telah dilantik melalui proses pengundian secara demokrasi.
“Cukuplah, tugas kita sekarang adalah fokus untuk memperkasakan parti sekali gus menumbangkan BN pada pilihan raya akan datang,” katanya.

Dalam perkembangan sama, pihaknya berpuas hati dengan perjalanan pemilihan jawatankuasa Pas peringkat kawasan di Perak bagi sesi 2015-2017.

“Paling ketara, ada beberapa Pas kawasan telah mengaplikasikan kaedah pengundian sulit bagi memilih calon presiden, timbalan presiden dan naib presiden parti,” katanya.