• Dua PRK boleh jadi ‘signal GST’ rakyat(Dari kiri) Ketua Setiausaha Pengelola PKR, Fariz Musa, Pengarah Strategi PKR, Sim Tze Tzin dan Ahli Parlimen Kapar, G Manivannan ketika pelancaran Kempen #BantahGST di tol Damansara, hari ini. – Foto Sinar Harian oleh FATHIN ATHIRAH HASLI
 1 / 1 
PETALING JAYA – Pilihan Raya Kecil (PRK) yang akan berlangsung di Parlimen Permatang Pauh dan Rompin Mei ini, dilihat akan memberi ruang kepada rakyat memberi isyarat mereka kepada kerajaan khususnya dalam isu cukai barang dan perkhidmatan (GST).
 
Ahli Parlimen Kapar, G Manivannan berkata, pertemuan antara PR dan BN akan memberi peluang kepada rakyat untuk membuat pilihan bijak dan menilai keberkesanan kepimpinan kedua gabungan tersebut.
 
“Dengan adanya isu-isu seperti GST dan 1MDB, ia secara tidak langsung dapat membuka mata dan membantu rakyat dalam menentukan pemimpin yang paling layak duduk di kerusi Permatang Pauh dan Rompin.
 
“Ini adalah ‘signal’ kepada kerajaan mengenai keberkesanan mereka dalam mengurus tadbir negara dan rakyat. Adakah mereka benar-benar memberi manfaat kepada rakyat,” katanya ketika ditemui pada Program Pelancaran Kempen #BantahGST dan pengagihan pelekat kereta, hari ini.
 
Bercakap mengenai cabaran di kedua PRK Parlimen tersebut beliau berkata, PKR sudah bersiap sedia mengatur jentera untuk menawan Permatang Pauh dan Rompin.
 
“Kami tidak risau, kami yakin dengan kekuatan jentera yang ada, dan dengan strategi yang kukuh serta bantuan dari semua pihak, PR mampu menang dalam kedua PRK,” katanya.