• Tuan Ibrahim Tuan Man Tuan Ibrahim Tuan Man
1 / 1
SHAH ALAM - Naib Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, serangan berterusan Tun Dr Mahathir Mohamad kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak adalah gambaran kekecewaan beliau terhadap kepimpinannya.

Jelasnya, kegagalan tersebut akan turut mengakibatkan gagalnya Wawasan 2020 yang menjadi cita-cita dan mercu tanda kepimpinan masa depan negara.

“Kegagalan mencapai wawasan 2020 adalah kegagalan perancangan kepimpinan negara membawa kemajuan kepada rakyat.

“Ukuran pencapaian ini bukan hanya diukur dari pendapatan perkapita rakyat yang jauh panggang dari api, bahkan ia turut mencerminkan kegagalan kerajaan menyediakan kemudahan asas kepada rakyat sebagaimana yang digembar-gemburkan dalam wawasan tersebut,” katanya menerusi satu kenyataan media hari ini.
Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata, sebenarnya Dr Mahathir tidak perlu menyerang Najib atau sebelumnya Pak Lah, kerana dialah yang mencadangkan keduanya.
“Kegagalan adalah kegagalan mengemukan seorang PM yang berwibawa. Atau apakah ini sebagai isyarat bahawa BN khasnya Umno sudah tiada tokoh bagi menggalas tanggung jawab besar ini.

“Mungkin Tun M sudah terbayang betapa kecewanya bila ‘Deklarasi Wawasan 2020’ yang akan dibaca pada saat yang bersejarah nanti.

“Kerana ia bukan lagi suatu gagasan kejayaan perancangan beliau sebaliknya ia adalah kemusnahan sebuah cita-cita bertukar menjadi igauan yang menakutkan,” katanya.