• Mahathir MohamadFoto Bernama
 1 / 1 
SHAH ALAM – Perdana Menteri pertama, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj disifatkan kerap juga menegur dan mengkritik kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad pada awal pentadbirannya khususnya ketika berdepan dengan beberapa isu termasuk krisis Perlembagaan, krisis Raja-Raja dan hakim, namun beliau tidak ambil pusing.

Demikian kata Setiausaha Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa, Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Datuk Abdul Halim Sidek sambil menegaskan, walaupun Dr Mahathir menerima teguran itu namun beliau tidak melayan kritikan tersebut.

“Tunku Abdul Rahman biasa tegur Mahathir, dan Mahathir terima sahaja tetapi dia tidak layan walaupun ada orang hendak cabar Mahathir, dia terima saja. Zaman Tunku jadi Perdana Menteri, Mahathir yang tegur walaupun beliau di bawahnya, zaman Tun Razak pun begitu juga, ada orang tegur dia.

“Setiap perdana menteri, ada saja orang tegur, budaya ini baik dan bagus, walaupun teguran itu mendapat sokongan banyak pihak namun ia tidak sampai hendak menjatuhkan,” katanya kepada Sinar Online, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas teguran Dr Mahathir terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sejak akhir-akhir ini berikutan beberapa persoalan termasuk soal pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), 1Malaysia Development Berhad (1MDB), pembunuhan model Mongolia, Altantuya Shaariibuu serta pencapaian buruk BN pada PRU12 dan PRU13 lalu.

Mengulas lanjut, Abdul Halim juga mengingatkan Dr Mahathir supaya tidak melanggar batas-batas perundangan dalam membuat teguran terbuka itu kerana ia didakwa telah mengganggu pentadbiran Najib termasuk menjejaskan keharmonian negara.

“Sekarang zaman Najib, Dr Mahathir tegur lagi, sebab dia ada idea, ini suatu amalan yang sihat, bekas perdana menteri itu memberi pandangan tetapi tidak sepatutnya mengganggu pentadbiran negara yang boleh menjatuhkan ketua pentadbiran sekarang.

“Sebenarnya apa yang Dr Mahathir buat ini ialah bersalahan dengan Akta Hasutan, perbuatannya itu boleh menimbulkan huru-hara negara, jadi oleh sebab hormatnya pemerintahan sekarang (Najib) terhadap beliau, maka tiada tindakan diambil oleh pihak polis untuk merekodkan kenyataan daripada Dr Mahathir dan penyokong-penyokong beliau,” ujarnya.

Abdul Halim juga berkata, tindakan masih belum diambil susulan Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Khalid Abu Bakar didakwa masih belum merujuk perkara itu kepada Perdana Menteri sebelum langkah seterusnya diambil.

“Pada masa sekarang belum lagi (ambil tindakan tegas), kita lihat KPN belum hendak bertindak lagi, kena ingat keutamaan sebagai bekas Perdana Menteri, biasanya KPN akan merujuk kepada Perdana Menteri dahulu sebab dia pengerusi Majlis Keselamatan Negara.

“Kalau ia menggugat keselamatan dan ketenteraman negara, maka tindakan boleh diambil,” katanya lagi.