• ABDUL HADI AWANG
 1 / 1 
KUALA LUMPUR - Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyindir pemimpin BN yang sering bertelagah antara satu sama lain ketika rakyat dibebani dengan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Beliau berkata, pemimpin BN kini terdesak untuk melaksanakan cukai baharu itu kerana berpunca daripada kelemahan pemimpin terdahulu.

"Mereka masing-masing menyalahkan salah satu sama lain, orang dulu menyalahkan orang sekarang, tak perlu sebut nama.

"Hok sekarang pikul hok dulu laa, kita menjadi penasihat untuk menasihatkan kerajaan supaya membetulkan keadaan," katanya ketika berucap pada Himpunan Derita Rakyat (Hindar) di Padang Merbok, di sini, hari ini.

Kata-kata Abdul Hadi itu dilihat merujuk kepada serangan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung pelaksanaan GST dan beberapa kes berprofil tinggi sejak kebelakangan ini.

Dalam pada itu, Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang turut menasihatkan pemimpin BN tersebut supaya kembali kepada ajaran Islam dalam pengurusan ekonomi.

"Jangan bercakap pasal hudud saja, Islam ini bukan hudud saja, ekonomi pun ada.

"Kalau orang Cina dan India boleh terima teori kapitalis, komunis, sosialis, Mark Lenin, mengapa mereka tidak boleh terima Islam, yang sedihnya Melayu pun tak terima Islam juga," ujarnya.

Abdul Hadi turut mempersoalkan pemimpin BN terdahulu semasa pasca kemerdekaan negara yang didakwa gagal memanfaatkan sumber kekayaan termasuk hasil bumi dan sumber manusia

"Apa mereka buat dengan sumber negara, mereka tidak manfaatkan sumber bumi negara dan sumber manuisa negara," katanya lagi.