• Ahmad YakobAhmad Yakob
 1 / 1 
KUALA LUMPUR - Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Ahmad Yakob berkata, Islam melarang pemimpinnya mengutip cukai daripada orang miskin untuk menyelesaikan masalah ekonomi negara.

Bagaimanapun beliau berkata, cukai tersebut harus dikutip apabila negara berada dalam keadaan darurat untuk tujuan mempertahankan kedaulatan negara.

"Dalam Islam tidak membenarkan mengambil cukai daripada orang miskin. GST (Cukai Barang dan Perkhidmatan) itu orang kaya kena, orang miskin pun kena, tetapi dalam Islam tak boleh.

"Ketika sesebuah negara itu darurat kerana mempertahankan negara dari musuh, waktu itu harus. Ini kerana perbendaharaan negara kekeringan (habis sumber) jadi mengutip cukai itu harus untuk membeli persenjataan," katanya pada Himpunan Derita Rakyat (Hindar) anjuran Dewan Ulama Pas Pusat, di Padang Merbok, di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata lagi, sebelum pemimpin mengutip cukai daripada rakyat, mereka perlu memanfaatkan sepenuhnya aset dan harta kerajaan terlebih dahulu.

"Sebelum ambil cukai, kena keluar aset kerajaan dulu, perbelanjaan mewah perlu dipotong dulu, jika tidak cukup, jual harta kerajaan, kalau tak cukup juga, baru kenakan cukai," katanya lagi.