• Mohd Amar Abdullah
 1 / 1 
KOTA BHARU - Pas Kelantan berharap Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) Pindaan 2015 didahulukan dalam aturan urusan mesyuarat persidangan Dewan Rakyat, Mei nanti.

Timbalan Pesuruhjaya 1 Pas Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, rang undang-undang tersebut sebelum ini berada di nombor 24 dalam senarai ‘order-paper’ Dewan Rakyat.

“Kita bersyukur, kini ia (agenda) kita berada di nombor 16, Insya-ALLAH, kita (Pas) berharap ia dapat dibentangkan diawal sesi untuk sidang Parlimen Mei nanti. Kita memahami banyak lagi urusan kerajaan perlu selesaikan termasuklah rang undang-undang yang akan kita bentangkan.

“Kita sudah dapat mengagak yang kita tidak sempat bentang sesi ini, tapi sekurang-kurangnya kita cuba, malah saya dapat tahu ada juga di antara usul kerajaan (pusat) yang turut sama ditangguhkan untuk sesi Mei nanti,” katanya kepada media semalam selepas menyampaikan kuliah sesi kedua di Medan Ilmu, di sini.

[ARTIKEL BERKAITAN: RUU Mahkamah Syariah dijangka tak sempat dibentang]

Menurutnya, sehingga kini, pihaknya menerima banyak impak positif sejak presidennya mengumumkan yang rang undang-undang itu kini sudah mula melangkah ke Parlimen.

Beliau juga berkata, ia termasuklah dengan penerimaan masyarakat bukan Islam yang kini dilihat semakin reda daripada terus menidakkan hukum ALLAH kepada seluruh umat Islam itu.

“Sebelum ini, yang datang jumpa saya (masyarakat bukan Islam), semuanya agresif terhadap pelaksanaan Kanun Jenayah Syariah ini, tetapi akhir-akhir ini rata-rata yang datang untuk minta penjelasan itu akhirnya mula ‘kendur’, tidaklah seagresif dulu.

“Inilah yang kita mahukan, sebab walaupun mereka tidak setuju, tapi tidak terlalu menentang sehingga memberi kesan yang tidak baik, malah melalui pemerhatian yang dilakukan, orang awam juga sama, majoritinya menerima tanpa sebarang masalah.

“Sebenarnya tidak perlu wujud pun masalah buat mereka dalam hal ini, kerana dari awal-awal lagi kita sudah maklumkan yang ia akan dikuatkuasakan kepada umat Islam sahaja, buat apa nak cari masalah,”katanya.

Rang Undang-undang Persendirian bagi meminda Akta 355 sudah disenaraikan dalam ‘order paper’  Dewan Rakyat  sejak minggu lalu dan dijangka dibentangkan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Mei nanti selepas sidang Parlimen sesi ini berakhir kelmarin.