• Anthony Loke
1 / 1
SHAH ALAM – Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bebas daripada sebarang tindakan tatatertib daripada Majlis Pimpinan PR kerana gabungan parti pembangkang itu masih tidak berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).

Demikian kata Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke Siew Fook sambil mengakui pihaknya sukar untuk mengenakan tindakan disebabkan kerjasama politik itu tidak memperuntukkan sebarang artikel atau Perlembagaan parti untuk mengikat mana-mana parti komponen dan pemimpin utama mereka.

“Majlis Pimpinan PR kita bukannya ada satu artikel atau ‎bukannya ada satu parti, kita tidak mempunyai status yang formal. PR dibentuk bukannya di atas satu pertubuhan yang berdaftar kerana kita belum mendapat pendaftaran daripada ROS‎ lagi.

“Jadi dia (perbuatan melanggari keputusan bersama) tidak boleh bertindak mengikut Perlembagaan atau undang-undang dalam PR atau kerjasama itu,” katanya kepada Sinar Online, semalam.

Beliau berkata demikian mengulas hasrat Kerajaan Negeri Kelantan menghantar semula notis untuk membentangkan Rang Undang-Undang Persendirian di Dewan Rakyat bagi membolehkan kuasa mahkamah syariah dibentangkan pada persidangan akan datang.

Pengerusi Teknikal Jawatankuasa Kanun Jenayah Syariah II, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, penghantaran semula notis sama itu perlu dilakukan berikutan ia tidak sempat dibentang dan dibahaskan pada persidangan lalu kerana perlu mengutamakan perbahasan RUU oleh kerajaan iaitu Akta Hasutan 1948 (Pindaan 2015).

Mengulas lanjut, Anthony berkata lagi, biarpun PR belum didaftarkan secara sah, namun semua pemimpin utama parti komponen itu tidak boleh melanggari etika kerjasama politik itu yang dimeterai bersama sejak 2008.

“Terpulang (kepada Pas), ini melibatkan integriti dan etika pemimpin. Cuma ini adalah satu kepercayaan, pimpinan politik sepatutnya tidak boleh melanggari keputusan bersama kerana ini melanggar etika politik atau kebolehpercayaan di antara pimpinan,” tegasnya.

Tambah Anthony, hasrat Kerajaan Negeri Kelantan itu hanya sia-sia kerana Parlimen tidak mungkin akan memberi sokongan sekali gus mengundi untuk meluluskan pindaan kuasa mahkamah syariah itu.

“Kalau dia buat sekali lagi pun saya rasa hasilnya sama, ia teta‎p tidak akan diterima oleh Parlimen.

“Sebenarnya mereka tahu pun apa hasilnya, ia tidak akan ke mana-mana, ini adalah satu usaha yang sia-sia dan saya yakin apa yang dia buat kali kedua itu hasilnya sama,” katanya lagi.