• PRK Permatang Pauh
1 / 1
GEORGETOWN - Umno Pulau Pinang berharap pengundi di Parlimen Permatang Pauh memberi peluang dan mandat kepada Barisan Nasional (BN) untuk membawa perubahan di kawasan itu yang seolah-olah 'sepi' di bawah PKR sejak 17 tahun lepas.

Pengerusinya, Datuk Seri Zainal Abidin Osman berkata, BN dan Umno akan melakukan yang terbaik jika diberi mandat pada PRK Parlimen Permatang Pauh, dan rakyat dapat melihat perbezaan tiga tahun di bawah BN berbanding 17 tahun di bawah PKR.

"Kami yakin tiga tahun (sebelum pilihan raya umum ke-14) di bawah kami, sekiranya diberi mandat, akan lebih baik daripada 17 tahun di bawah PKR. Terlalu banyak perkara yang perlu dibuat di Permatang Pauh.

"Kalau dapat kita pergi ke bawah kita akan lihat bagaimana rumah-rumah perlu dibaiki, longkang yang perlu dibuat, dewan yang perlu diperbaiki dan jalan yang perlu ditampung...seolah-olah seperti disepikan sejak 17 tahun dahulu," katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Badan Perhubungan Umno negeri di sini, hari ini.

Beliau berkata, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, pelbagai masalah yang timbul di Permatang Pauh diselesaikan oleh Umno dan BN.

"Kami harap khidmat bakti yang diberikan Umno dan BN selama ini dapat diterjemahkan dalam bentuk sokongan dan undi kepada bakal calon kami yang boleh mengubah dan melakar sejarah baharu untuk kawasan Permatang Pauh," katanya.

Zainal Abidin berkata, beliau yakin BN dapat memberi tentangan yang hebat pada pilihan raya kecil kali ini walaupun Permatang Pauh dikatakan kubu kuat PKR.

"Kami terima hakikat bahawa pilihan raya kecil ini bukannya sesuatu yang mudah bagi kami. Namun, Umno masuk pilihan raya kecil ini bukan hanya sekadar nak bertanding tapi kami inginkan kemenangan walau sekecil mana pun majoriti," katanya.

PRK Permatang Pauh diadakan berikutan keputusan Lembaga Pengampunan pada 16 Mac lalu yang menolak petisyen pengampunan diraja yang dipohon ahli Parlimen kawasan itu Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui anggota keluarganya sekali gus menyebabkan ketua pembangkang itu hilang kelayakan sebagai wakil rakyat.

Anwar sedang menjalani hukuman penjara lima tahun bagi sabitan meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 25 April sebagai hari penamaan calon dan hari pengundian 7 Mei.

Pada PRU13, Anwar mempertahankan kerusi Permatang Pauh dengan menewaskan calon BN, Dr Mazlan Ismail dengan majoriti 11,721 undi. - Bernama