• PRK Permatang Pauh
1 / 1
KUALA LUMPUR - BN perlu meletakkan calon yang berkredibiliti tinggi jika serius untuk merampas kerusi Parlimen Permatang Pauh dalam pilihan raya kecil kawasan itu pada 7 Mei ini. 
 
Ahli Parlimen Bagan Serai, Dr Noor Azmi Ghazali yakin kerusi Permatang Pauh tidak akan terus kekal menjadi milik parti pembangkang sekiranya BN meletakkan calon yang mampu menambat hati rakyat. 
 
"Saya yakin BN mampu merampas kembali kerusi Permatang Pauh dengan calon yang mempunyai kredibiliti tinggi," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.
 
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini menetapkan 7 Mei depan sebagai hari mengundi sementara hari penamaan calon ialah pada 25 April dan pengundian awal pada 3 Mei bagi PRK Permatang Pauh.
 
Kerusi Permatang Pauh diisytiharkan kosong selepas penyandangnya Datuk Seri Anwar Ibrahim hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen selepas Lembaga Pengampunan menolak petisyen bagi pengampunan diraja yang dipohon oleh keluarga ketua pembangkang itu atas sabitan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.
 
Anwar sedang menjalani hukuman penjara lima tahun di Penjara Sungai Buloh.
 
Bagi Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, masalah dalaman yang dihadapi pembangkang terutama dalam isu pelaksanaan hukum hudud memberi sedikit kelebihan kepada BN.
 
Beliau berkata calon dan jentera kempen harus menemui pengundi secara langsung selain melakukan ceramah terbuka dalam menjelaskan isu-isu yang berbangkit.
 
Beliau juga berharap kempen pilihan raya kecil itu berlangsung aman tanpa sebarang elemen provokasi, kekerasan dan ekstremisme.
 
Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Seri Noh Omar turut senada dalam perkara itu dan meminta semua pihak mematuhi undang-undang yang ditetapkan bagi mengelak kejadian tidak diingini.
 
Ketua Pergerakan Puteri Umno, Datuk Mas Ermieyati Samsudin yang juga Ahli Parlimen Masjid Tanah pula berkata, jentera Puteri bersedia untuk mendokong perjuangan BN bagi merampas kerusi Parlimen Permatang Pauh. 
 
"Puteri memilih media sosial sebagai medium kempen bagi mendekati golongan pengundi muda di kawasan itu," katanya.
 
Pada pilihan raya umum 2013, Anwar mempertahankan kerusi Permatang Pauh dengan menewaskan calon BN, Dr Mazlan Ismail dengan majoriti 11,721 undi. - Bernama