• Husam MusaDatuk Husam Musa
 1 / 1 
JERLUN - Pencalonan dari akar umbi yang memilih Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa untuk merebut jawatan Presiden pada pemilihan parti Jun ini, seolah memberi mesej bahawa kepimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak lagi disenangi.

Jumlah pencalonan diterima Husam mencipta sejarah dalam parti itu apabila mendapat hampir 30 peratus pencalonan daripada 24 Pas kawasan yang selesai mengadakan mesyuarat agung tahunannya.
Berdasarkan pencalonan setakat 5 April, Husam mendapat tujuh pencalonan iaitu empat dari Johor (Kota Tinggi, Segamat, Batu Pahat dan Seri Gading), dua dari Negeri Sembilan (Seremban, Teluk Kemang) serta dari Sabah (Batu Sapi).

Manakala Abdul Hadi menerima lima pencalonan dari Pahang (Maran, Temerloh, Rompin, Jerantut, Kuala Krau), tiga dari Johor (Pulai, Kluang, Kulai Jaya), tiga dari Selangor (Shah Alam, Kota Raja, Wangsa Maju) dan masing-masing satu dari Wilayah Persekutuan (Putrajaya), Terengganu (Besut), Kedah (Kuala Kedah) dan Melaka (Alor Gajah).

Dua lagi calon yang turut mendapat pencalonan untuk jawatan presiden adalah Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Ahmad Awang.

Mengulas mengenai perkembangan terbaharu dalam parti itu, yang menyaksikan Husam hampir separuh menyamai jumlah pencalonan Abdul Hadi, seolah-olah wujud undi protes terhadap beliau yang kini berdepan pelbagai isu bersama PR, antaranya, hudud.

Bagaimanapun, Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri yakin petunjuk itu bukan undi protes terhadap Abdul Hadi yang dilihat gagal menangani isu-isu bersama dalam PR, sebaliknya pertandingan biasa dalam pemilihan.

“Pada zaman Rasulullah SAW pun ada orang yang tidak berpuas hati terhadap kepimpinannya, apatah lagi presiden sebuah parti. Itu biasa bagi saya, dan bukan perkara yang pelik,” katanya.
Menurutnya, tindakan itu juga tiada kaitan dengan dakwaan menolak kepimpinan ulama, berikutan ahli berhak memilih pemimpin yang diyakini untuk terajui parti.

“Saya yakin ahli memahami prinsip Pas yang memperjuangkan Islam, di mana Islam mesti berdiri seiring dengan ulama. Tiada ulama tiadalah Islam, ibarat ulama dan Islam tidak boleh dipisahkan,” katanya.