• Noh OmarDatuk Seri Noh Omar
 1 / 1 
SHAH ALAM - Umno Selangor menyarankan Perdana Menteri, Datuk Seti Najib Tun Razak meminta bantuan Suruhanjaya Percegahan Rasuah Malaysia (SPRM) turut serta dalam menyiasat akaun 1 Malaysian Development Berhad (1MDB).

Pengerusi Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar berkata, pihaknya mahu SPRM turut menyiasat akaun 1MDB itu supaya kebenaran dapat dilihat.

"Selain Ketua Audit Negara, kita cadangkan juga supaya perdana menteri minta SPRM atau pihak polis meneliti laporan 1MDB ini dan bertindak segera supaya kita tahu isu sebenarnya.

"Perdana menteri sendiri berkata beliau tidak mahu sembunyikan apa-apa dan tidak akan selindung jika berlaku salah guna kuasa mengenai isu ini.

"Jika perlu pengaudit antarabangsa untuk selidik pun, kita alu-alukan," katanya dalam sidang media selepas mesyuarat khas Umno Selangor, hari ini.

Sebelum ini, Najib turut mengarahkan Ketua Audit negara untuk menyemak akaun 1MDB dan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) yang turut dianggotai ketua pembangkang untuk.menyiasat akaun 1MDB.

"Berilah masa ketua audit untuk jalankan tugas masing-masing. Kita tidak bolehlah bergantung kepada laporan yang tiada bukti jelas.

"Perdana menteri sekarang masih lagi dalam kedudukan yang amat baik dan stabil dan kita berharap jawapan beliau dapat diterima dengan lapang dada oleh semua pihak," kata Noh.

Dalam pada itu, Noh turut menzahirkan sokongan penuh terhadap kepimpinan Najib.

"Umno Selangor meliputi kepimpinan akar umbi dan Adun BN Selangor menyokong penuh ketegasan perdana menteri dalam kenyataannya yang sedia meneliti kritikan.

"Umno Selangor juga yakin di bawah kepimpinan perdana menteri dengan sokongan padu Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan barisan kabinet serta rakyat jelata, beliau dapat memacu negara ini dengan lebih maju di masa akan datang," katanya.

Beliau turut yakin perdana menteri mampu membawa kejayaan gemilang kepada BN dalam PRU akan datang.

"Apa yang penting ialah ahli berpadu, tidak berbalah sesama sendiri dan tidak sabotaj parti," katanya.