• Semak dahulu cukai negeri sebelum pertikai GST Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri (kiri) dan Yang Dipertua Yadim pada Seminar Kebangsaan GST dari Perspektif Islam anjuran Jakim, di Masjid Putra, Putrajaya, hari ini. - Foto Sinar Online oleh NIZAM ZAIN
1 / 1
PUTRAJAYA - Kerajaan Negeri Kelantan pimpinan Pas perlu melihat kembali sistem percukaian negeri itu sebelum menyangah pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) oleh Kerajaan Persekutuan.
Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata kerajaan negeri itu juga tidak boleh mengutip sebarang cukai daripada rakyatnya jika bersandarkan kepada dalil harus ketika darurat.

"Kerajaan Negeri Kelantan juga kena hapuskan cukai bakul, cukai tanah, cukai premium jual tanah, yang mana orang miskin sekarang ini ramai jual tanah sebab tiada apa-apa.

"Kalau itulah asasnya hukuman yang dibuat, kalau hendak kata darurat, maknanya Kerajaan Negeri Kelantan pun tak boleh kutip (cukai)," katanya kepada Sinar Online selepas Seminar Kebangsaan GST dari Persepktif Islam di Masjid Putra, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob pada Sabtu yang mendakwa Islam melarang pemimpinnya mengutip cukai daripada orang miskin untuk menyelesaikan masalah ekonomi negara

Ahmad berkata lagi cukai tersebut harus dikutip termasuk orang miskin apabila negara berada dalam keadaan darurat untuk tujuan mempertahankan kedaulatan negara.

Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi juga menyindir sinis pentadbiran Pas Kelantan yang juga mengenakan cukai tempatan kepada rakyatnya walaupun tidak dianjurkan dalam Islam.

"Dia pun tak boleh kutip cukai itu kerana cukai itu tiada dalam zaman Nabi, cukai bakul bagi orang yang jual di pasar, cukai jalan, bayaran parkir, itu pun cukai juga.

"Ia tidak boleh dikutip oleh kerajaan negeri kerana tidak pernah dilaksanakan zaman Nabi, tidak pernah dilaksanakan zaman empat Khalifah Islam," katanya lagi