• Shahidan Kassim
1 / 1
KUALA LUMPUR - Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) pindaan 2015 yang akan dibawa Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dijangka tidak dapat dibentangkan pada Persidangan Dewan Rakyat kali ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, Dewan Rakyat tidak akan berhenti bersidang selagi mana Rang Undang-undang (RUU) Hasutan (Pindaan 2015) termasuk usul Kementerian Kewangan diluluskan pada hari ini.

"Sidang Dewan Rakyat tidak akan berhenti bersidang sehingga dua Rang Undang-undang diluluskan iaitu Rang Undang-undang Pindaan Akta Hasutan dan Rang Undang-undang Saraan Ahli Parlimen serta tujuh usul kewangan," katanya pada persidangan Dewan Rakyat, di bangunan Parlimen, hari ini.
Sidang kali ini merupakan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen ke-13 yang bermula 9 Mac dan berakhir hari ini.

Menurut Shahidan lagi, persidangan Dewan Rakyat hari ini hanya akan membahaskan RUU dari kedudukan nombor satu hingga lapan sahaja yang terkandung dalam aturan mesyuarat dan usul-usul hari ini.

Antaranya RUU Hasutan (Pindaan 2015), RUU Ahli Parlimen (Saraan) (Pindaan 2014), RUU Ahli Kimia (Pindaan 2015), Akta Pendanaan Kerajaan 1983 (Akta 275) untuk memindahkan sebanyak RM39.59 bilion ke Kumpulan Wang Pembangunan dan Akta Tatacara Kewangan 1957 (Akta 61) untuk meluluskan pelaburan Kementerian Kewangan sebanyak RM10 juta dalam anak syarikat kerajaan, MyHSR Corporation Sdn Bhd.

Sementara itu, Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli menyatakan keyakinannya bahawa RUU yang dibawa oleh Abdul Hadi itu tidak sempat dibahaskan memandangkan usul tersebut tersenarai dalam kedudukan ke-16 dalam aturan mesyuarat dan usul-usul sidang Dewan Rakyat, hari ini.

"Saya tidak nampak bagaimana usul lain termasuk rang undang-undang persendirian yang dibawa Datuk Seri Abdul Hadi Awang akan dibahaskan.

"Selepas rang undang-undang, ada usul-usul lain, kalau ikut perkiraan masa, setakat ini speaker menetapkan bahawa ada 18 pembahas dari BN dan PR.
"Saya rasa kalau Akta Hasutan sahaja mungkin kita habis pukul 1 pagi ini," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Ditanya tentang peluang Presiden Pas itu untuk membawa RUU yang sama pada sidang Dewan Rakyat akan datang, beliau bagaimanapun mendakwa sekiranya usul itu tidak sempat dibentang pada sidang kali ini, usul tersebut tidak boleh dibawa pada sidang akan datang.

"Kalau dia (Abdul Hadi) mahu bawa usul itu pada sidang akan datang, dia kena beri notis baharu kepada Speaker Dewan Rakyat, usul sidang kali ini tidak boleh dipakai pada sidang akan datang.

"Jadi dia kena hadapi semua halangan dan kekangan seperti mana yang dia hadapi selepas beliau beri notis itu pada 18 Mac lalu," katanya lagi.