•  Mahfuz Omar Mahfuz Omar
1 / 1
KUALA LUMPUR - Ketua Penerangan Pas, Datuk Mahfuz Omar menyindir Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, mengatakan bersedia mencari penaja bagi membiayai kos perbelanjaan siasatan semula ke atas bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK), Sirul Azhar Umar jika pihak berkuasa tiada kemampuan.

Beliau berkata, tawaran itu dibuat selepas Khalid mengatakan sudah menghantar pegawai penyiasat untuk mengambil keterangan Sirul baru-baru ini.

"Saya sedia menawarkan orang yang akan membiayai bukan sahaja pegawai siasatan jenayah PDRM bahkan KPN sendiri untuk ke Pusat Tahanan Imigresen Australia untuk jalankan siasatan," katanya pada sidang media di lobi bangunan Parlimen, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad semalam yang meluangkan masa mendengar rintihan ibu kepada Sirul, Piah Samad dalam satu pertemuan di Yayasan Perdana, Putrajaya, semalam.

Mahfuz yang juga Ketua Whip Parlimen Pas mengakui pertemuan tersebut telah diaturkan pihaknya susulan permintaan Dr Mahathir supaya kertas siasatan ke atas Sirul dibuka semula susulan pembunuhan warganegara Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

"Saya akui memang betul semalam saya telah bawa ibu dan bapa saudara Sirul berjumpa dengan Tun Mahathir di Yayasan Perdana di Putrajaya yang berlangsung selama 40 minit, semalam.

"Saya terpaksa rahsiakan pertemuan itu daripada pengetahuan media takut ada halangan dan usaha untuk menggagalkan pertemuan itu," ujarnya sambil menggambarkan Dr Mahathir amat tekun mendengar luahan hati ibu Sirul.

Katanya lagi, pertemuan tersebut telah memberi nafas baharu kepada Piah sekeluarga apabila meletakkan harapan tinggi kepada Dr Mahathir supaya suatu tindakan perlu diambil untuk menegakkan keadilan.

Sementara itu, Mahfuz juga akan mengaturkan pertemuan sama dalam masa terdekat bagi membolehkan Sirul membuat pendedahan kes pembunuhan itu kepada Dr Mahathir melalui panggilan telefon.

"Saya harapkan pertemuan ibu Sirul dengan Tun Mahathir diadakan bagi membolehkan saya buat panggilan dan beri peluang kepada Sirul bercakap dengan Tun Mahathir untuk menceritakan perihal apa yang berlaku sebenarnya," katanya lagi.