• Nga Kor Ming Nga Kor Ming
 1 / 1 
TAIPING - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor telah menghantar surat tuntutan melalui sebuah firma guaman kepada Nga Kor Ming berhubung kenyataan yang didakwa berunsur fitnah yang dicatatkan oleh anggota Parlimen Taiping itu dalam akaun Facebooknya pada 29 Mac.
  
Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak mewakili pasangan itu menyampaikan surat berkenaan kepada Nga di pejabat beliau di Taiping pada pukul 3.35 petang hari ini.
  
Kenyataan yang dimaksudkan itu didakwa tersiar dalam akaun Facebook Nga yang dimuat naik dalam satu status bergambar bertajuk 'Nga Kor Ming: Siapa PM Malaysia Yang Sebenar? Jawab!'
  
Dalam surat itu, firma guaman berkenaan menuntut Nga supaya mengeluarkan status itu daripada akaun Facebooknya dan berhenti menyiarkan kenyataan berunsur fitnah berkaitan isu terhadap Najib dan Rosmah dalam tempoh 48 jam mulai hari ini.
  
Ia juga menuntut Nga supaya mengeluarkan permohonan maaf secara bertulis tanpa syarat dan menarik balik artikel yang didakwa fitnah itu mengikut syaratnya dalam masa 48 jam mulai hari ini.

Nga juga perlu menerbitkan kenyataan menarik balik kenyataan fitnah itu dan permohonan maaf dalam muka surat dan saiz yang dipersetujui oleh pasangan itu dalam sekurang-kurangnya dua akhbar nasional pilihan mereka.
  
Menurut surat tuntutan itu yang ditandatangani oleh peguam Datuk Mohd Hafarizam Harun, status itu merupakan fitnah bertulis dan/atau fitnah lisan yang amat serius terhadap anak guam kami dan telah mengakibatkan mereka berasa amat sedih dan mengaibkan.
  
Menurutnya dakwaan dalam status itu langsung tidak berasas, tidak benar dan amat serius, serta berniat jahat untuk menyerang dan mencemarkan maruah pasangan itu.
  
Anggota Parlimen Taiping itu juga perlu mengemukakan amaun ganti rugi yang sesuai bagi penderitaan dan tekanan yang dialami pasangan itu dan menanggung semua kos dan perbelanjaan yang perlu dibiayai dalam perkara itu.
  
Surat itu juga menyatakan tindakan undang-undang akan diambil terhadap Nga sekiranya beliau gagal memberikan maklum balas dalam tempoh 48 jam. - Bernama