• Pas
 1 / 1 
MARANG - Pas memberi peringatan kepada DAP agar tidak mengeluarkan sebarang kenyataan terhadap usaha pelaksanaan Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2015 sehingga memperlihatkan parti itu sebagai sebuah parti anti Islam.

Ia susulan peluang Pas untuk meneruskan pelaksanaannya menunjukkan perkembangan positif apabila Rang Undang-undang Persendirian bagi meminda bidang kuasa mahkamah syariah itu dimasukkan dalam aturan urusan mesyuarat Dewan Rakyat.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang juga berpuas hati dengan perkembangan yang berlaku walaupun Rang Undang-Undang Persendirian tersebut tidak dibentangkan dalam mesyuarat pertama penggal ketiga Parlimen ke-13 berakhir pada Khamis.

“Alhamdulillah, kita mencapai satu tahap yang sangat baik, apabila usul ini dimasukkan dalam kertas parlimen… dah dimasukkan.. letak pada nombor 24. Oleh sebab kita serah pada 18 hari bulan, (agak) lewat.

Beliau berkata demikian ketika sidang media diadakan di Pejabat Kesatuan Ulama Sedunia di Masjid Rusila di sini, semalam.

Abdul Hadi berkata, Pas bersetuju untuk tidak terlalu memaksa usul itu dibentangkan lebih awal sebaliknya bersedia mengikut giliran yang telah ditetapkan kerana percaya agenda negara khususnya melibatkan isu keselamatan dan keganasan perlu diutamakan.

Beliau juga dimaklumkan bahawa ada menteri yang membuat kenyataan di Parlimen bahawa akan dipanjangkan perkara ini dalam sidang akan datang.

“Maka, sebab itu, kami tak perlu tergesa-gesa dalam hal ini,” katanya.

Abdul Hadi berkata, beliau turut berpuas hati dengan sokongan diberikan oleh ahli Parlimen yang beragama Islam termasuk Umno dalam perkara itu dan menganggap penerimaan terhadap hukum berkaitan Islam semakin baik berbanding dahulu.

“Keadaan sekarang tidak seperti tahun 50-an dulu. Tahun 50-an dulu, orang memomokkan undang-undang Islam ini. Tapi, perkara ini dah dianggap sebagai ilmu sejak tahun 70-an hingga hari ini termasuk berlaku perbincangan dalam Umno dan MCA juga menganjurkan
seminar hudud walaupun ada kekalutan.

“Tapi, itulah, dia (MCA) berjaya anjur secara akademik, secara ilmu dan ini satu perkara yang sangat positif,” katanya

Sebelum ini, Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2015 yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Marang itu diletakkan sebagai perkara terakhir dalam aturan berkenaan iaitu yang ke-24.

Walau bagaimanapun, Rang Undang-Undang Persendirian itu dapat tidak dibentangkan dalam mesyuarat pertama penggal ketiga Parlimen ke-13 memandangkan terdapat 23 urusan kerajaan dalam senarai aturan urusan mesyuarat perlu diselesaikan terlebih dahulu.

Berdasarkan kepada senarai aturan mesyuarat yang diedarkan itu, Abdul Hadi mencadangkan dua pindaan iaitu:


i - menggantikan Seksyen 2 dengan seksyen berikut:


“2 Mahkamah syariah akan mempunyai kuasa ke atas seseorang penganut Islam dan dalam hal kesalahan di bawah perkara yang disenaraikan dalam Senarai 1 Senarai Negeri di bawah Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.”;


dan ii - Memasukkan selepas seksyen 2 dengan seksyen berikut:


“2A. Dalam menjalankan undang-undang jenayah di bawah Seksyen 2 Mahkamah Syariah berhak menjatuhkan hukuman yang dibenarkan oleh undang-undang syariah berkaitan hal-hal kesalahan yang disenaraikan di bawah seksyen yang disebutkan di atas, sesuai dengan kehendak syariah Islam.”

Pada 18 Mac lalu, Ahli Parlimen Marang itu memasukkan satu usul bagi membawa Rang Undang-Undang Persendirian untuk meminta Parlimen meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355.

Pindaan berkenaan dicadangkan bagi membuka laluan kepada pelaksanaan Rang Undang-undang Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) diluluskan Dun Kelantan 19 Mac lalu.

Sehubungan itu, Abdul Hadi memberi peringatan kepada DAP agar pemimpin parti itu tidak mengeluarkan kenyataan berhubung usaha perlaksanaan sekali gus memperlihatkan parti itu sebagai sebuah parti anti-Islam dan hendak bermusuh dengan orang Islam.

Menurutnya, Pas juga tidak mahu DAP dilemparkan dengan tanggapan yang sedemikian dan dalam masa sama menganggap parti itu tidak mewakili mereka yang bukan beragama Islam kerana mereka yang bukan beragama Islam di Malaysia sudah berubah.

“Saya (juga) tidak menganggap DAP mewakili semua orang bukan Islam, orang bukan Islam tidak bersama DAP. Di mana saya juga ditemui kalangan orang bukan Islam yang menunjukkan respons sangat positif sama ada mereka bersetuju atau tidak.

 “Orang bukan Islam sudah bercampur dengan orang Islam dalam masyarakat majmuk dengan cara yang baik, kita tidak mahu keruhkan (keadaan). Apa lagi usul ini hanya berkait dengan orang Islam sahaja yang mengamalkan hukum syariah.

Kini, cabaran seterusnya bagi Pas adalah untuk mendapatkan sokongan sekurang-kurangnya 112 ahli Parlimen pada sidang akan datang iaitu pada 18 Mei depan bagi membolehkan Rang Undang-undang Persendirian tersebut diluluskan di Dewan Rakyat.

Memandangkan Pas hanya mempunyai 21 Ahli Parlimen, parti itu terpaksa mengharapkan sokongan Ahli-ahli Parlimen beragama Islam yang mewakili parti lain termasuk daripada Umno dan PKR
.