• PRK Rompin Grafik Sinar Online
 1 / 1 
MUADZAM SHAH - Pas menghadapi cabaran besar untuk mengalahkan BN pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Rompin 5 Mei ini, kata Ahli Jawatankuasa Kerja Pusatnya, Nasrudin Hassan Tantawi.
  
Beliau berkata, bukanlah sesuatu yang mudah untuk mengatasi 15,114 undi majoriti yang diperoleh calon BN pada pilihan raya umum lepas.
  
"Saya sedang memikirkan apa yang perlu dikatakan untuk memberi motivasi kepada jentera kita. Jumlah majoriti itu bukannya kecil, tetapi kita perlu yakin kita akan menang jika kita bekerja keras," katanya ketika melancarkan jentera parti itu untuk menghadapi PRK berkenaan di Felda Keratong 4 di sini semalam.
  
Pada majlis itu, Nasrudin, yang juga Ahli Parlimen Temerloh, menyeru jentera Pas supaya bersedia mempromosikan sesiapa sahaja yang akan diumumkan sebagai calon Pas pada 20 April nanti.
  
PRK Rompin diadakan berikutan kematian penyandang kerusi berkenaan, Allahyarham Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis akibat nahas helikopter di Semenyih, Selangor pada 4 April.
  
Dalam PRU13 pada Mei 2013, Jamaluddin, yang juga Pengerusi Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA), mengekalkan kerusi yang disandang beliau selama 23 tahun itu setelah mengalahkan bekas Ketua Dewan Muslimat Pas, Nuridah Mohd Salleh. - Bernama