• Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man
1 / 1
KUANTAN - Pas Pahang membuat persiapan awal dengan menubuhkan jentera parti bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Rompin.
 
Pesuruhjaya Pas Pahang, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata agenda berkaitan PRK Rompin antara intipati yang dibincangkan pada mesyuarat parti itu Isnin lepas. 
 
"Pas Pahang juga membuat tinjauan awal terhadap calon yang sesuai untuk bertanding dalam pilihan raya kecil itu nanti," katanya kepada Bernama di sini, hari ini. 
 
Tuan Ibrahim bagaimanapun enggan mendedahkan nama calon itu kerana beranggapan masih awal untuk berbuat demikian selain mahu menunggu pengumuman rasmi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengenai PRK Rompin. 
 
PRK Parlimen Rompin diadakan berikutan kematian penyandangnya Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis dalam nahas helikopter di Semenyih, Selangor pada Sabtu lepas.
 
Selain Jamaluddin, turut terkorban lima mangsa lain termasuk Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri, Datuk Azlin Alias.
 
Tuan Ibrahim berkata Pas Pahang juga merakamkan ucapan takziah kepada keluarga semua mangsa yang terlibat dalam nahas helikopter itu.
 
Pada PRU13, Jamaluddin dipilih sebagai Ahli Parlimen Rompin bagi penggal keenam setelah mengalahkan calon Pas Nuridah Mohd Salleh dengan majoriti 15,114 undi. - Bernama