• Penjaga gol JDT II Mohd Anis ketika hadir ke mahkamah, semalam.
1 / 1
GEORGETOWN - Penjaga gol Johor Darul Takzim (JDT) II dituduh di mahkamah majistret di sini kerana mengeluarkan kata-kata kesat terhadap anggota polis.

Mohd Anis Faron Ahmad, 32, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret L Umma Devi, dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Noor Azura Zulkiflee.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan maksud hendak mengaibkan pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyebut kata-kata kesat dengan maksud supaya perkataan itu didengari oleh anggota polis yang bertugas.

Mohd Anis dituduh melakukan kesalahan itu pada jam 10.50 malam pada 3 April lalu di Stadium Bandaraya Pulau Pinang di sini.

Dia didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Dalam prosiding semalam, tertuduh yang diwakili peguam, Andy Ooi meminta mahkamah mengurangkan wang jaminan sebanyak RM5,000 yang dikemukakan pihak pendakwaan.

Permohonan itu dibuat dengan alasan anak guamnya seorang pemain bola sepak profesional dari pasukan JDT II, selain mempunyai tanggungan seorang isteri yang tidak bekerja serta anak berusia 12 tahun.

Andy berkata, anak guamnya itu kini menetap di Johor Bahru, namun patuh terhadap perintah mahkamah dengan menghadirkan diri bagi mendengar pertuduhan semalam.

Umma Devi kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 29 Jun depan untuk sebutan semula kes.