• Tun Dr Mahathir MohamadTun Dr Mahathir Mohamad
 1 / 1 
SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan teguran beliau terhadap kepincangan kepimpinan negara merupakan hak beliau untuk membetulkan keadaan.

Bagaimanapun beliau berkata pihak yang ditegur it juga mempunyai hak sama ada mahu menerima atau menolak teguran dilontarkan itu.

"Kalau dia nak tolak apa-apa (teguran), dia boleh tolak, jika saya rasa dia (Najib) ada melakukan sesuatu yang salah, saya ada hak untuk tegur.

"Saya rasa dia akan menjadi penyebab Umno kalah dalam pilihan raya, percayalah saya," katanya dalam video yang dimuat naik di blog Din Turtle, semalam.

[ ARTIKEL BERKAITAN: Tun M tak amal beri wang percuma ]

Beliau berkata demikian mengulas serangan bertali-arus yang dibuatnya terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sejak akhir ini termasuk meminta Presiden BN itu menjawab kepada rakyat tentang beberapa persoalan.

Antaranya, skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), pembelian pesawat baharu kerajaan, pelaburan ratusan juta untuk filem "The Wolf of Wall Street" oleh anak tiri Najib, Riza Aziz dan kredibiliti ahli perniagaan bernama Jho Low dalam pengurusan AS$700 juta dari 1MDB.

Ditanya mengenai keupayaan Najib yang dipersoalkan dalam memimpin parti Melayu itu, beliau bagaimanapun menegaskan Umno sudah lama berpecah sejak beliau meletakkan jawatan sebagai presiden parti.

"Umno sudah pecah dah, Umno yang saya pimpin dulu agak kuat, kalau kita tengok dalam perhimpunan pun boleh tahu tak semangat cukup," ujarnya.

Dr Mahathir juga mendedahkan perpecahan Umno itu berpunca daripada kesetiaan kepada parti kerana harta dan kebendaan.

"Umno sekarang adalah sebab duit, ketua-ketua Umno setia sebab dia dapat sesuatu atau kontrak, yang dapat jawatan-jawatan itu semua dapat duit.

"Bila dia buat macam itu, dia pergi kepada ketua, yang lain semua macam mana? Akar umbi tau sokong saja," katanya lagi.