• Mustapa Mohamed Mustapa
1 / 1
KOTA BHARU - Umno Kelantan menyerahkan sepenuhnya soal rundingan dengan Pas berkaitan pelaksanaan undang-undang hudud kepada Umno Pusat, kata Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu berkata, di peringkat negeri, pihaknya tiada masalah bagi membincangkan perkara berkenaan dengan Pas.  


"(Umno) Kelantan tak ada masalah tapi ini (hudud) perlu diperjelaskan di peringkat Pusat kerana ini hal nasional. Biarpun (Umno) Kelantan bersedia tapi elok diselaraskan dengan Pusat.


"Kita serahkan (perbincangan hudud) ini kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.


"Beliau pernah mengadakan beberapa perbincangan termasuk dengan Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah," katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.


Beliau mengulas mengenai saranan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mahukan parti itu mengadakan rundingan dengan Umno dalam usaha Pas melaksanakan hukum hudud di Kelantan.


Pada 19 Mac lepas, Dun Kelantan meluluskan Rang Undang-Undang Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015), atau hudud untuk dilaksanakan di Kelantan. - Bernama