Followers

click for translator to read my artichel

English French German Spain Italian Dutch

Russian Portuguese Japanese Korean Arabic Chinese Simplified

Siapa Calon BN Permatang Pauh?


alt


Siapa calon berpotensi yang akan mewakili Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh 7 Mei ini?

Persoalan itu semakin menarik selepas sesi turun padang Timbalan Perdana Menteri yang juga Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin ke Parlimen ini hujung minggu lalu.

Difahamkan, daripada tiga nama yang dicadangkan UMNO bahagian itu sebelum ini untuk pertimbangan pucuk pimpinan parti, kini hanya tinggal dua nama sahaja.

Sesiapa pun yang dicadangkan, calon itu sudah tentu perlu menepati kriteria seperti yang ditegaskan Muhyiddin dalam pertemuannya dengan kepimpinan UMNO Bahagian Permatang Pauh tempoh hari.

Antara yang diingatkan Muhyiddin calon itu wajib mempunyai imej bersih, bebas daripada sebarang skandal dan mempunyai latar belakang pendidikan yang baik.

Calon anak tempatan dan disenangi serta diterima penduduk setempat pula adalah satu kelebihan kerana sudah semestinya penduduk Parlimen itu tidak mahu orang luar mewakili mereka.

Jadi, siapa gerangan calon yang menepati ciri-ciri yang diharapkan pucuk pimpinan UMNO itu?

Ada beberapa nama yang disebut-sebut ketika ini dengan paling menonjol ialah Pengarah Biro Tatanegara (BTN) negeri, Hasan Mohammad, 50.

Hasan, yang lebih mesra dikenali sebagai Cikgu Hasan merupakan Ketua Penerangan UMNO Bahagian Permatang Pauh di bawah kepimpinan Datuk Mohd. Zaidi Said.

Dari segi latar belakang politik, tidak banyak yang diketahui mengenai Cikgu Hasan ini kerana beliau digambarkan sebagai seorang yang bekerja keras hanya di belakang tabir.

Tetapi dari segi latar belakang pendidikan, Cikgu Hasan ini bukan calang-calang kerana beliau dikatakan mempunyai kelulusan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan dari Universiti Sains Malaysia (USM).

Sebelum menjawat jawatan Pengarah BTN negeri, Cikgu Hasan juga difahamkan merupakan bekas Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Seberang Perai Tengah.

Dalam kalangan penduduk di Parlimen ini, karektor dan pembawaan diri Cikgu Hasan dikatakan cukup disenangi ramai malah beliau juga dikhabarkan antara calon BN di kerusi itu pada pilihan raya umum lalu.

Selain Cikgu Hasan, satu lagi nama yang turut disebut-sebut ialah seorang peguam iaitu Norsafri Said.

Tidak banyak yang diketahui mengenai ahli UMNO Cawangan Tanjung Putus berusia 36 tahun ini tetapi beliau dikatakan lulusan Maktab Melayu Kuala Kangsar (MCKK) dan Universiti Islam Antarabangsa (UIA).

Selain itu, Norsafri yang difahamkan mempunyai pertalian saudara dengan Ketua UMNO bahagian itu, Mohd. Zaidi ini boleh berkomunikasi dalam beberapa bahasa termasuk bahasa Jepun.

Seorang lagi yang turut disebut-sebut berpotensi sebagai calon ialah bekas calon BN di kerusi itu sendiri dalam pilihan raya umum lalu iaitu Dr. Mazlan Ismail.

Pencalonan Dr. Mazlan yang kini merupakan Penasihat kepada Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) ini barangkali melihat kepada rekod cemerlang beliau dalam pilihan raya umum lalu termasuk berjaya meningkatkan kira-kira 10,000 undi kepada BN.

Selain itu, Dr. Mazlan yang juga bekas ahli Pas selama lebih 25 tahun di kawasan tersebut dilihat berpotensi menarik undi orang Melayu termasuk ahli Pas sendiri yang kini sedang berdepan krisis dalam pembangkang.

Bagaimana pula dengan kedudukan Ketua UMNO Bahagian itu sendiri, Mohd. Zaidi atau lebih mesra dikenali sebagai Cikgu Zaidi?

Jika mengikut aturannya, Cikgu Zaidi pasti lebih layak kerana beliau merupakan Ketua UMNO bahagian itu selain rekod turun padangnya bertemu masyarakat yang tidak pernah diabaikan saban minggu.

Sebab itu adalah tidak mustahil Cikgu Zaidi juga boleh menjadi calon walaupun ketika ini populariti beliau dibayangi calon lain yang dilihat lebih layak.

Apa yang pasti kesemua calon yang disebut-sebut ini sudah semestinya mempunyai kelebihan masing-masing yang bakal dibedah siasat dan dipertimbangkan sewajarnya oleh pucuk pimpinan parti.

Sesiapa pun yang dipilih kelak, mereka memikul tanggungjawab besar untuk memastikan kemenangan di kubu kuat pembangkang itu sekali gus mencipta kejutan merampas semula kerusi berkenaan.

Dalam senario politik semasa, faktor keterampilan dan keperibadian calon sangat kritikal kepada BN kerana penduduk di Parlimen itu mencari wakil rakyat yang boleh diharapkan untuk membawa suara dan kepentingan mereka kepada kerajaan.

Sebab itu BN khususnya UMNO perlu berhati-hati dalam memilih calon mereka bagi kerusi ini kerana kesilapan mengetengahkan calon hanya akan menutup sepenuhnya peluang merampas kerusi berkenaan yang kini dilihat semakin terbuka.

- Utusan Malaysia

0 orang berkata:

free counters
 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 PakKaramu |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.