• PRK Permatang Pauh
1 / 1
KUALA LUMPUR - MCA yang kini bekerja keras mengembalikan sokongan pengundi Cina kepada parti dan Barisan Nasional (BN), yakin pengundi Cina akan memberi sokongan kepada BN pada pilihan raya kecil (PRK) Permatang Pauh.

Naib Presidennya Datin Paduka Chew Mei Fun berkata sekalipun banyak isu semasa yang dibangkitkan, namun MCA yakin mereka akan tetap memberi sokongan kepada BN pada PRK itu 7 Mei ini.

"Walaupun cabaran kami masih besar kerana ada isu-isu semasa yang dibangkitkan masih perlu dijawab dan dijelaskan kepada pengundi, namun kami yakin sokongan mereka tetap ada pada BN," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Chew berkata, pihaknya telah melakukan persediaan rapi dengan menggerakkan jentera pilihan raya parti itu dari peringkat cawangan, bahagian dan negeri di Pulau Pinang ke Permatang Pauh.

"Semua anggota jawatankuasa dan majlis tertinggi, termasuk Presiden (Datuk Seri Liow Tiong Lai) dan Timbalan Presiden (Datuk Dr Wee Ka Siong) turut akan turun padang bagi membantu jentera pilihan raya di sana," katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan PRK Permatang Pauh diadakan pada 7 Mei ini, penamaan calon 25 April manakala pengundian awal 3 Mei.

PRK Permatang Pauh diadakan berikutan keputusan Lembaga Pengampunan pada 16 Mac lepas, yang menolak petisyen pengampunan diraja yang dipohon  anggota Parlimen kawasan itu Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui anggota keluarganya sekali gus menyebabkan ketua pembangkang itu hilang kelayakan sebagai  wakil rakyat.

Anwar sedang menjalani hukuman penjara lima tahun bagi sabitan meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan. - Bernama