Pengerusinya, Zaidi Muda berkata, umur 55 tahun adalah masa yang sangat sesuai untuk para pekerja mengeluarkan simpanan mereka setelah menghadapi umur persaraan.
 
"Wang ini boleh digunakan untuk menguruskan keluarga pencarum setelah pencen dan pastinya pendidikan menguruskan kewangan dapat membantu pesara merancang dengan baik.
 
KWSP tidak boleh menggunakan pelbagai alasan untuk menghalang pencarum mengeluarkan simpanan mereka di usia 55 tahun kerana wang itu adalah simpanan dan hak pencarum," katanya kepada Bernama hari ini.
 
Minggu lepas , KWSP dilaporkan sedia mempertimbangkan penyelarasan had pengeluaran simpanan kepada umur 60 tahun berbanding 55 tahun ketika ini yang mengundang reaksi negatif dari pelbagai pihak.
 
Zaidi berkata, KWSP adalah antara tabung simpanan persaraan tertua dan terbesar di dunia dengan aset pelaburan RM636.53 bilion dan pekerja sangat mengharapkan wang simpanan ini untuk menikmati usia selepas persaraan dengan baik.
 
"Jumlah ahli KWSP meningkat setiap tahun dan kini ia mempunyai 14.192 juta ahli dengan 6.659 juta ahli aktif. Ini sekali gus menyaksikan KWSP menerima caruman yang tinggi dengan mencecah RM4.76 bilion sebulan atau keseluruhan RM57.17 bilion pada tahun lalu," katanya. - Bernama