• Hishammuddin Tun Hussein.Hishammuddin Tun Hussein. - Foto Sinar Harian oleh SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
 1 / 1 
KUALA LUMPUR - Lembaga pengarah 1Malaysia Development Berhad (1MDB) disaran melantik satu lagi firma audit antarabangsa bebas bagi memeriksa, memberi verifikasi dan mendedahkan kepada umum nilai semua aset, liabiliti serta status portfolio pelaburan dan kedudukan aliran tunainya.
 
Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata firma audit itu juga perlu melaksanakan audit forensik atas semua transaksi 1MDB sejak penubuhannya bagi membantu syarikat itu menjawab segala isu berbangkit.
  
"Saya yakin hasil audit bebas ini berserta siasatan Ketua Audit Negara akan dapat membantu 1MDB meyakinkan rakyat tentang status kewangan syarikat pelaburan itu," katanya dalam kenyataan hari ini.
  
Hishammuddin, yang juga Menteri Pertahanan, menegaskan proses untuk mengetahui kedudukan kewangan sebenar 1MDB harus dipercepatkan dan tidak harus menunggu sahaja hasil siasatan Ketua Audit Negara.
  
"Dalam konteks ini, saya menggesa Ketua Audit Negara segera mengemukakan laporannya dan memanjangkan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC)," katanya.
 
Isu 1MDB terus menjadi tumpuan susulan laporan terbaharu berhubung pembelian tanah berharga RM188.5 juta milik 1MDB di pusat kewangan Tun Razak Exchange (TRX) oleh Lembaga Tabung Haji.
  
Tabung Haji hari ini tampil menyatakan bahawa ia bercadang menjual tanahnya di TRX dan setakat ini telah menerima tiga tawaran daripada pihak yang berminat.
  
Pengerusinya, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim memberitahu sidang media di sini bahawa tanah berkeluasan 0.66 hektar itu dibeli atas keputusan komersial dan bukan untuk tujuan 'bailout' atau menyelamatkan 1MDB.
  
Dalam pada itu, Hishammuddin menegaskan kerajaan sememangnya harus menjawab persoalan yang dibangkitkan bagi menangkis persepsi negatif terhadap syarikat pelaburan itu.
  
"Jika ada sebarang salah laku dalam isu 1MDB, tindakan undang-undang harus segera diambil," katanya.
  
Di ALOR SETAR, Pemuda Umno Kedah meminta satu audit pengurusan dilaksanakan terhadap pembelian tanah di TRX milik 1MDB oleh Tabung Haji bagi memastikan tiada isu berbangkit selepas ini.
  
Ketuanya, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin beberapa pilihan raya kecil lalu memberi mesej jelas bahawa isu ketelusan, tata kelola yang baik dan pengurusan sumber kewangan mendapat tumpuan orang muda.
  
"Apakah wajar Pemuda Umno dipersalah apabila sokongan dan undi golongan muda semakin merosot sedangkan banyak isu di luar pengetahuan dan kemampuan kami untuk menjawabnya," katanya dalam kenyataan hari ini.
  
Di MELAKA, Ketua Pergerakan Puteri Umno Malaysia Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata Tabung Haji seharusnya lebih bersikap sensitif dari awal mengenai transaksi pembelian tanah itu walaupun dilaporkan telah menerima tiga tawaran daripada pihak yang berminat membeli tanah tersebut.
  
Beliau berkata Tabung Haji perlu memberi sedikit masa dan menunggu siasatan PAC terhadap 1MDB selesai.

"Pembabitan 1MBD dalam transaksi ini sebenarnya masih menimbulkan tanda tanya pada saat syarikat itu sendiri masih dibelenggu kemelut dan dalam siasatan PAC," katanya.

Sementara itu di SHAH ALAM, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyatakan kesediaannya untuk membantu penyiasatan agensi penguatkuasaan berkaitan dalam isu melibatkan 1MDB.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohamed berkata pihaknya akan menawarkan khidmat tenaga pakar dalam bidang berkaitan sebagai sokongan penuh kepada kerajaan bagi menjelaskan keadaan sebenar berhubung isu tersebut.

"Polis Diraja Malaysia telah menyatakan untuk membentuk pasukan melibatkan agensi penguatkuasa lain dan SPRM tiada masalah membantu jika perlu," katanya kepada pemberita di sini.

Mengulas cadangan pelantikan firma audit antarabangsa bebas, beliau berkata laporan audit dan penyiasatan merupakan dua perkara berbeza.

"Ini kerana penyiasatan melihat kepada aspek jenayah manakala audit lebih kepada pematuhan.

"Sekiranya siasatan telah mengenal pasti berlaku jenayah, mereka pastinya akan menonjolkan dalam laporan tersebut," katanya. - Bernama