• Analisis Berita
1 / 1
SHAH ALAM – Pemerhati politik menyifatkan Muktamar Tahunan Pas kali ke-61 awal bulan depan dijangka bakal menjadi paling menarik untuk disaksikan susulan pelbagai pergolakan yang berlaku dalam parti itu.

Pensyarah kanan Pusat Pengajian Antarabangsa Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, pertandingan bagi jawatan Presiden buat pertama kali berlaku dalam sejarah Pas bakal dinanti-nantikan semua pihak.

“Muktamar kali ini paling menarik untuk dilihat sebab sudah jelas ada pertandingan untuk jawatan Presiden buat pertama kali. Jawatan tertinggi lain pun memang dipertandingkan.

“Kali ini, kita akan lihat pertembungan hebat antara dua golongan iaitu ulama dengan profesional,” katanya kepada Sinar Online.

Dalam pada itu, beliau berpendapat isu hudud dan kerjasama Pas dalam PR antara isu hangat yang akan dibangkitkan oleh para perwakilan.

Sementara, Setiausaha Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa Majlis Profesor Negara, Prof Datuk Abdul Halim Sidek pula berpandangan, Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (Pasma) yang menjadi duri dalam daging, kerjasama dengan DAP, kedudukan Pas dalam PR antara isu panas yang akan hangat diperdebatkan para perwakilan kelak.

Menyentuh soal tindakan bekas Naib Presiden Pas, Ahmad Awang yang hari ini mengumumkan untuk mencabar Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, beliau mendakwa, Ahmad sebagai 'tukang buat kacau' yang mewakili golongan yang cuba memecah-belahkan Pas.

“Ini bukan budaya Pas. Sepatutnya tidak ada pertandingan untuk jawatan Presiden. Sebelum mereka bermesyuarat agung, mereka akan dibincangkan dalam Majlis Syura Ulama dan keputusan akan diumumkan tapi jika ada yang nak cabar juga, maksudnya jelas dia itu datang dari kumpulan yang satu lagi...cuba buat kacau.

“Golongan ulama dan Pemuda pun sudah nyatakan sokongan penuh kepada Abdul Hadi, jadi, tak mungkin mereka menentang beliau,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menjangkakan Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu bakal tewas di tangan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man rentetan penolakan terhadap orang nombor dua Pas itu sejak kebelakangan ini.

Bantahan terhadap Mohamad itu masih berjalan sehingga kini. Itu menunjukkan bahawa beliau (Mohamad) tidak diterima lagi di dalam Pas.

“Jadi, saya yakin perkara sama akan wujud (dalam muktamar kali ini). Mesti ada bantahan seperti muktamar lalu,” katanya.

Muktamar Pas di Johor tahun lalu menyaksikan sebahagian perwakilan Pemuda Pas bertindak keluar dewan apabila Timbalan Presiden itu memulakan ucapan perasmian.