• Dr Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss Dr Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss
1 / 1
IPOH - Kenyataan Pengerusi PR Negeri, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin serta Setiausahanya, Dr Khairuddin Abdul Malek pada program bual bicara Legasi Perjuangan Almarhum Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat di Teluk Intan, kelmarin dilihat lebih bersifat peribadi dan tidak mewakili keputusan Pas Perak secara  keseluruhannya.
 
Pesuruhjaya Pas negeri, Razman Zakaria berkata, kenyataan berkenaan hanya bertujuan untuk mencorakkan kepimpinan dan hala tuju parti pada masa hadapan.
 
Menurutnya, malah kenyataan berkenaan juga datangnya daripada pihak yang secara automatik tidak lagi menjadi Ahli Badan Perhubungan Pas Negeri, setelah kedua-duanya (Mohammad Nizar dan Dr Khairuddin) tewas pada pemilihan jawatan Yang Dipertua (YDP), di kawasan masing-masing sebelum ini.
 
“Saya fikir ia lebih kepada pandangan peribadi mereka,  Mohammad Nizar sebagai Timbalan Pesuruhjaya Pas Negeri yang juga salah seorang daripada lima ahli yang mewakili Badan Perhubungan Pas Negeri telah tewas pada pemilihan YDP, Kampar. Begitu juga dengan Khairuddin yang tewas di Tambun.
 
“Dengan tidak memegang jawatan, mereka berdua secara automatik tidak lagi menjadi Ahli Badan Perhubungan Pas Perak,” katanya semalam.
 
Mohammad Nizar sebelum ini berkata, perubahan perlu dilakukan dalam kepimpinan tertinggi dalam Muktamar Pas, Jun ini dalam usaha menarik kembali sokongan bukan Islam terhadap parti itu.
 
Kenyataan itu turut mendapat sokongan Dr Khairuddin yang menyifatkan Pas, memerlukan presiden baharu untuk memimpin parti itu.
 
Mengulas dakwaan tersebut Razman berkata, semua perwakilan yang dijadualkan bermuktamar Jun ini lebih berautoriti selain memiliki pertimbangan lebih rasional dalam menentukan kepimpinan bakal menerajui parti pada masa hadapan.
 
Katanya, bagaimanapun pihak badan perhubungan sesi lalu, masih berfungsi sehinggalah muktamar pemilihan yang akan datang.
 
“Sekarang ini musim  pemilihan. Telah selesai Mesyuarat Agung Tahunan, Mesyuarat Agung Kawasan yang melibatkan pemilihan jawatankuasa.
 
“Insya-ALLAH, mulai 4 hingga 7 Jun nanti, Muktamar Pas peringkat pusat bakal berlangsung,” katanya.
 
Dalam pada itu, Ketua Pemuda Pas negeri, Dr Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss kurang bersetuju dengan pandangan terbuka dilontarkan bekas Menteri Besar Perak itu.
 
Katanya, sebagai Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Mohammad Nizar boleh menyatakan pandangan sedemikian melalui mesyuarat.
 
“Itu hak peribadi mereka untuk bercakap, keputusan siapakah presiden hanya akan ditentukan melalui muktamar dan saya yakin, pandangan mereka tidak mewakili parti mahupun Pas negeri,” katanya.