• PRK Permatang Pauh
1 / 1
PERMATANG PAUH - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyerahkan kes kempen lewat malam oleh parti yang bertanding pada PRK Permatang Pauh kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.

Timbalan Pengerusinya, Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah berkata, pihaknya mengakui banyak pelanggaran syarat berlaku sepanjang kempen pilihan raya di kawasan itu termasuk berkempen dari rumah ke rumah selepas jam 10 malam.

"Kawasan berkempen ini luas, ada yang kempen atas (pintu ke pintu), ada juga kempen depan halaman rumah saja.

"Memang sukar nak kenal pasti siapa yang bersalah, malah polis sendiri terima banyak aduan dan sudah buka tujuh kertas siasatan bagi menyiasat perkara ini," katanya kepada pemberita selepas membuat pemeriksaan kotak undi di pusat penjumlahan undi, Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Bukit Mertajam, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas dakwaan Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli bahawa BN khususnya Umno mengubah strategi kempen bagi menghadapi PRK Permatang Pauh dengan berkempen dari rumah ke rumah pada sebelah lewat malam.

Dakwanya, lawatan menemui pengundi kawasan itu selepas jam 10 malam itu menimbulkan prasangka.

Katanya lagi, tindakan itu dikhuatiri boleh berlaku pemberian wang, menyogok atau menawarkan imbuhan sebagai ganti undi pada Khamis ini.