1 / 1 
SHAH ALAM – Pengesahan pihak Lembaga Tabung Haji (TH) ke atas dakwaan pembelian plot tanah TRX didakwa gagal untuk menyelamatkan sistem pengurusan kewangan 1MDB.

Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Nasruddin Hassan berkata,  tindakan pihak 1MDB yang terpaksa menggunakan tabungan awam merupakan satu lagi bukti kepada dakwaan ketirisan yang terdapat dalam badan organisasi tersebut.

“1MDB sedang berdepan dengan siasatan daripada pihak Jabatan Audit Negara dan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC). Isu ini sangat penting memandangkan ia berhadapan dengan skandal kewangan yang besar yang turut melibatkan kepentingan rakyat.

“Bagi pihak rakyat, kita tidak boleh mengizinkan perkara ini berlaku walaupun pihak pengurusan TH berpendapat sebaliknya. Skandal kewangan 1MDB yang teruk boleh menjejaskan projek mega TRX dan ia akan turut mengheret TH ke kancah risiko yang lebih besar. Tambahan pula, pelabur-pelabur asing turut mempertimbangkan semula pelaburan mereka di TRX,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Isu membabitkan Lembaga Tabung Haji menjadi kontroversi apabila dikatakan terlibat dengan pembelian meragukan dalam 1MDB , namun dinafikan oleh pihak TH dalam satu sidang media semalam.

[ARTIKEL BERKAITAN: Beli tanah 1MDB: Tabung Haji ada jawapan]

Nasruddin dalam pada itu turut menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mengadakan sidang mesyuarat khas di Dewan Rakyat bagi membahaskan isu tersebut dengan lebih terperinci.

“Saya meneliti dokumen sulit yang dimuatkan di sebuah blog (The Benchmark) mengenai cadangan pembelian Plot B.10.15-RT di Tun Razak Exchange daripada 1MDB Real Estate dan subsidiarinya KLIFD Sdn Bhd. Saya turut membaca respons daripada pihak pengurusan Tabung Haji semalam bagi mendapatkan penjelasan daripada perkara yang berbangkit.

“Berdasarkan maklumat tersebut, saya menggesa Perdana Menteri segera memaklumkan kepada Tuan Yang Dipertua untuk memanggil sidang mesyuarat khas bagi membahaskan isu 1MDB dengan lebih terperinci demi kepentingan rakyat. Ini selaras dengan Peraturan 11 (3), Peraturan-Peraturan Dewan Rakyat,” katanya lagi.