• Usah gugat kepercayaan kamiBangunan Tabung Haji di Jalan Banda Kaba, Banda Hilir, Melaka. Gambar tengah; Roslinda
 1 / 2 
RATA-RATA penduduk di Melaka dan Negeri Sembilan mengharapkan agar apa saja keuntungan hasil perniagaan diusahakan Tabung Haji (TH), seratus peratus bersih dan berlandaskan syariah.

Pemegang akaun TH, Rokiah Usof, 53, berkata, orang ramai sanggup menabung di agensi itu demi menunaikan Rukun Islam kelima disebabkan percaya proses dilakukan TH adalah telus, bersistematik dan memudahkan umat Islam untuk ke Makkah.

“Beli hartanah itu bagus untuk tambah keuntungan tetapi sejauh mana perniagaan itu dijalankan mengikut landasan Islam?

"Memang kesal jika satu-satu agensi diamanahkan mengurus umat Islam menunaikan haji untuk setiap tahun tetapi terlibat dengan perniagaan berisiko, sudah tentu kepercayaan kami akan tergugat,” katanya.

Seorang lagi pemegang akaun TH, Norisam Kasim, 47, berkata, lebih 10 tahun dia menabung hampir setiap bulan menerusi gaji diterima semasa bekerja di syarikat swasta.

“Jika isu-isu seperti pembelian hartanah ini adalah benar, memang saya kecewa dan sepatutnya TH perlu menjelaskan kepada orang ramai.

“Jawab segala persoalan masyarakat dan jelaskan secara terperinci mana datangnya duit-duit keuntungan ini.

“Kita enggan terima dividen hasil perniagaan tidak seratus peratus bersih kerana duit itu nanti akan digunakan untuk menunaikan haji,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, semalam.

Roslinda Mohamad, 47, pula berpendapat, masyarakat Islam lebih selesa bersama TH kerana sudah memahami corak perniagaan yang dijalankan agensi berkenaan.

“Tapi kalau melabur sana-sini, beli hartanah di luar negara, kita orang kampung ini sekadar dengar sahaja apa TH buat.

“Tapi segala butir-butir perniagaan mereka, pemantauan dilakukan, rasanya ramai umat Islam apatah lagi kami orang kampung ini memang tidak tahu langsung,” katanya.