• Satiful Bahri Mamat Satiful Bahri Mamat
1 / 1
KUALA TERENGGANU – Pesuruhjaya Pas Terengganu, Satiful Bahri Mamat mengingatkan mana-mana pihak tidak mencampuri urusan Pas dalam memilih barisan kepimpinan yang akan menentukan hala tuju parti itu pada masa depan.

Menurutnya, serangan daripada pihak luar terutama terhadap Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang memperlihatkan pihak terlibat seolah-olah mahu mempengaruhi ahli Pas dalam menentukan kepimpinan menjelang Muktamar Tahunan Pas, bulan depan.
Bagaimanapun beliau yakin keadaan itu tidak akan memberi kesan kepada Pas dan menegaskan bahawa ahli parti itu lebih tahu siapa yang berhak untuk menerajui Pas.

“Saya rasa semua bentuk serangan ini hanya berlaku sebelum muktamar untuk calarkan imej presiden.

"Bukan AMK sahaja tetapi juga daripada PKR dan DAP tetapi kita melihat mutakhir ini pencalonan yang banyak terhadap Tuan Guru (Abdul Hadi)," katanya.

Kata beliau, kepimpinan Pas yang ada kini sudah lama dan beliau harap supaya mana-mana pihak jangan campur tangan kerana mereka lebih tahu siapa untuk dipilih sebagai pemimpin.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai beberapa pihak sebelum ini termasuk AMK yang mendakwa Abdul Hadi sebagai mesra Umno.

Satiful Bahri yang juga Adun Paka turut menjangka bahawa semua bentuk serangan terhadap Abdul Hadi akan berakhir selepas Muktamar Tahunan Pas nanti.

Sementara itu, mengulas mengenai kenyataan bekas Naib Presiden Pas, Ahmad Awang berhubung kewujudan kumpulan ulama muda untuk mengambil alih kepimpinan Pas, beliau menyifatkannya sebagai tuduhan melulu.

Menurutnya, perjuangan Pas sudah lama dan ahli Pas juga bukanlah tergolong daripada mereka yang pendek akal untuk melakukan kegiatan seumpama itu.

“Ahli Pas bukan tidak cerdik malah mereka juga sudah lama dalam Pas dan peka siapa sebenarnya yang mahu rosakkan parti,” katanya.

Sebelum ini, Ahmad mengatakan kemunculan kumpulan ulama muda bercita-cita tinggi dan mahu menguasai sepenuhnya parti Islam itu sebagai punca kepada kemelut yang melanda pada ketika ini.

Ahmad yang sudah dapat cukup pencalonan untuk melawan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu berkata, kumpulan tersebut merasakan mereka sepatutnya kuasai parti selepas berada dalam kukuh hasil kerjasama Pas, PKR dan DAP.