Followers

click for translator to read my artichel

English French German Spain Italian Dutch

Russian Portuguese Japanese Korean Arabic Chinese Simplified

HUDUD



Presiden PAS bentang Hudud di Universiti Nanyang Singapura


Dalam dunia serba pantas dan langit terbuka untuk menyebar serta mendapatkan maklumat, institusi pendidikan tinggi (IPT) di Malaysia masih pasif dan terperuk untuk berwacana menyatakan realiti yang membelit kehidupan warganya. Ketika penerimaan hudud khususnya menerusi Enakmen Kanun Jenayah Syariah II Kelantan berjaya diluluskan di Dewan Undangan Negeri Kelantan dan PAS berjaya mengemukakan usul pindaan Akta 355 Mahkamah Syariah ke Parlimen Malaysia, perdebatan mengenainya kekal sepi di infra akademik.

Sedangkan, IPT terkemuka negara jiran di selatan tanah air, Singapura iaitu Universiti Nanyang secara terbuka menjemput Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang untuk berbicara mengenai hudud di sana. Malah, pihak penganjur sendiri mengemukakan tajuk yang positif untuk menjentik minda meneroka hudud secara ilmiah iaitu “Hudud Untuk Semua: Implemen Undang-Undang Jenayah Islam Di Malaysia”.

Pada pembentangannya, Tuan Guru mengungkap nostalgia usahanya selaku Menteri Besar Terengganu (1999 – 2004) menulis surat kepada Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad sebanyak dua kali untuk bertemu dan berbincang mengenai perkara tersebut, namun tidak pernah berjawab. Sebaliknya, Kerajaan Singapura pimpinan Lee Kuan Yew pula berminat dan telah mengadakan dua kali pertemuan dengan beliau membicarakan soal hudud.
Hudud Keperluan Fitrah

Menurut beliau, hudud adalah sebahagian dari Islam yang sesuai dengan naluri atau fitrah semulajadi manusia di mana terhimpun kepada roh, jasad, akal, individu, keluarga dan masyarakat. Segalanya membentuk hubungan nyata antara sesama manusia, Tuhan, masyarakat dan alam. Semua urusan ini terkandung dalam ajaran Islam termasuk aspek politik kenegaraan iaitulah disamping soal pentadbiran, ekonomi dan sosial masyarakat, perkara penting juga adalah berkait perundangan.

“Maka dalam bidang undang-undang, hukum-hukum Islam mengikut al-Quran merangkumi di dalamnya undang-undang dasar negara (perlembagaan) undang-undang keluarga, undang-undang perdagangan, undang-undang tanah, undang-undang dalam negeri, undang-undang luar Negara, antarabangsa termasuk undang-undang peperangan dan perdamaian, juga undang-undang jenayah iaitu jenayah dalam negeri dan jenayah antarabangsa.

“Pada aspek undang-undang dalam negeri, undang-undang jenayah secara khusus. Islam membahagikan kepada tiga jenis undang-undang iaitu Qisas, Hudud dan Ta’zir. Qisas dan Hudud khusus untuk memelihara perkara-perkara yang menjadi rukun dalam kehidupan manusia iaitulah memelihara agama, nyawa, akal, keturunan dan harta. Dalam perkara Qisas dan Hudud ia diselesaikan mengikut syariat Islam, tidak diselesaikan oleh akal manusia.

“Maka al-Quran meletakkan hukum-hukum Qisas ialah berkait dengan kecederaan dan hak manusia. Hudud berkait dengan moral disebut hak Tuhan untuk menjaga kepentingan manusia. Hukum Ta’zir ialah hukum yang tidak disebut hukumannya di dalam al-Quran dan Hadis Nabi Muhammad SAW,” terang beliau.

Hukum Qisas

Dalam hukuman Qisas disebut ‘Membunuh Dengan Sengaja’ atau ‘Membunuh Tanpa Sengaja’ atau ‘Mencedera Tanpa Sengaja’ atau ‘Mencedera Dengan Sengaja’.

Jelas Tuan Guru, membunuh dengan sengaja akan menerima hukuman dibunuh balas yang berbeza dengan membunuh tanpa sengaja di mana dihukum membayar ganti rugi disebut ‘diyat’. Bagi kesalahan mencedera dengan sengaja, sekiranya anggota yang dapat seimbang seperti mata, telinga, tangan dan kaki, maka dihukum balas mencedera anggota sama. Sekiranya tidak sengaja maka ditukar dengan ganti rugi.

Tetapi katanya, Qisas mengizinkan pengampunan iaitulah dari pihak mangsa dan bukannya Lembaga Pengampun yang dilantik oleh kerajaan. Misalnya jenayah kematian, yang berhak mengampun pesalah adalah keluarga si mati. Bagi kes kecederaan, pemberi ampun adalah mangsa yang dicedera itu. Jika dikehendaki membayar ganti rugi, maka diberi kepada mangsa, bukan kepada kerajaan.

Ruang Lingkup Hudud

Terang beliau, hukuman Hudud adalah perkara yang tidak ada pertelingkahan di kalangan ulama iaitulah kesalahan murtad menukar agama bagi orang Islam, kesalahan meminum arak, berzina, qazaf, mencuri dan hirabah. Kesalahan murtad adalah bagi orang Islam sahaja kerana Islam tidak boleh memaksa penganut agama lain. Hukuman dilihat dari segi bahayanya orang yang murtad itu di mana ia dianggap mengancam keselamatan Negara dan menjadi agen kepada musuh. Kerana Islam adalah ‘ad-din’ iaitu agama politik, agama Negara, bukan agama (religion) samata-mata.

Pun begitu jelas Tuan Guru, walaupun hukumannya adalah mati, tetapi pihak berkenaan boleh memberi peluang kepada pesalah untuk bertaubat di mana terdapat pandangan ulama selama beberapa hari atau sepanjang hayat.

Bagi kesalahan meminum arak, hukuman ialah sebatan sebanyak di antara 40 sehingga 80 sebatan, juga kepada orang Islam sahaja, sementara Mazhab Hanafi mengecualikan wanita. Manakala kesalahan berzina, kepada yang sudah berkahwin hukumannya adalah direjam, sementara yang belum berkahwin disebat sebanyak 100 sebatan.

“Qazaf ialah menuduh tanpa saksi, khususnya menuduh berzina tanpa empat saksi. Hukumannya ialah 80 sebatan. Mencuri hukumannya dipotong tangan. Hirabah merompak menyamun dan sekiranya membunuh, maka dihukum mati. Sekiranya merampas harta, dihukum memotong tangan dan kaki. Sekiranya tidak melibatkan pembunuhan, tetapi merampas harta dibuang daerah. Dalam perkara ini, para ulama berpendapat ia bagi orang Islam. Adapun bagi orang bukan Islam, diberi pilihan sama ada mereka memilih undang-undang ini atau mereka memilih undang-undang yang lain,” ujarnya.

Menurut Presiden PAS itu, kerana kerasnya hukuman tersebut hingga umum tidak melihat aspek kesukaran menjatuhkan hukuman. Sedangkan konsep Hudud adalah untuk mendidik bukannya untuk menghukum. Sebab itulah Islam mengetatkan syarat-syarat kehakiman dan kesaksian. Di mana seorang hakim mestilah berilmu, beriman, budiman dan bermaruah tinggi.

Saksi juga wajib adil agar dapat membuktikan kesalahan Hudud dan Qisas iaitulah saksi yang beriman dan budiman. Sekiranya empat saksi dalam kes zina di mana salah satu memberi keterangan yang berlainan, tidak budiman, maka kempat-empat saksi dihukum 80 sebatan.

Hikmah Hudud

“Dalam sejarah Islam seperti tidak berlaku hukuman disabitkan dengan saksi, kerana orang takut jadi saksi. Apa yang berlaku ialah pengakuan orang yang salah itu sendiri yang mahu membersihkan dirinya daripada dosa. Mengikut ajaran Islam, dalam aspek akidah, aspek spiritual, orang yang dihukum tidak dihukum lagi selepas meninggal dunia.

“Sebab itu dalam sejarah Islam, hanya beberapa orang sahaja zaman Nabi yang datang menyerah diri mengaku melakukan kesalahan ini di mana pengakuannya secara rela hati tidak dipaksa. Namun, Islam lebih menggalakkan seseorang itu bertaubat. Meminta ampun dengan Tuhan dan memohon maaf dengan mangsa.

“Ini digalakkan lebih baik daripada menyerah diri. Islam mengajar orang yang menyembunyikan kesalahannya dan dia bertaubat antara dia dengan Tuhan. Jika berkait dengan manusia, dia meminta maaf dengan manusia itu. Ini lebih baik daripada menyerah diri dihukum. Lebih besar pahalanya dalam Islam.

“Dengan sebab itu, maka Nabi Muhammad SAW menggalakkan orang yang melakukan kesalahan ini bertaubat di luar mahkamah. Mengikut syariat Islam pihak yang berkenaan sama ada hakim ataupun polis, apabila datang orang mengaku, dinasihatkan supaya dia bertaubat.

“Diberi peluang sebanyak empat kali dalam kes zina supaya dia balik bertaubat. Begitu juga dalam aspek keampunan di mana disebut dalam hadis Nabi SAW, “Barang siapa yang menjadi mangsa jenayah dan mengampunkan jenayah itu tanpa hukum dimasukkan syurga dengan tiada hisab”,” perinci beliau.

Hudud Mendidik

Kata Tuan Guru, aspek spiritual membuktikan penjenayah menyerah diri secara sukarela dan berlaku keampunan sebagaimana kisah zaman Khalifah Umar al-Khattab RA apabila seorang pengembala telah terlepas untanya masuk ke dalam satu kebun, lalu tuan punya kebun membunuh untanya dan si pengembala pula membunuh tuan kebun. Setelah dihadapkan ke pengadilan dan didapati bersalah, pengembala itu memohon izin pulang ke kampungnya kerana mempunyai urusan pusaka. Lalu diizinkan pulang dan dia minta seorang penjamin di mana Abu Dzhar RA menjadi penjaminnya.

“Maka penjenayah ini pulang ke kampung tanpa polis ikut dia. Tidak ada SB yang ikut dia. Dia balik ke kampung dia dalam tempoh mungkin sebulan saya tak ingat masa itu. Dia tunggu sehingga hari yang akhir baru dia datang. Datang dalam keadaan yang termengah-mengah. Lalu Umar Tanya, “Mengapa awak datang? Awak tak melarikan diri?” Dia kata “Saya tak pernah lari daripada hukum tuhan. Tak boleh lari. Saya sudah selesai pusaka. Saya datang balik kerana saya rela saya dihukum.”

“Apabila anak si mati yang berhak dalam pengampunan ini melihat perkara menyayatkan hati itu, beliau ampunkan penjenayah tersebut dan ditukar kepada bayaran pampasan. Di sini ada aspek spiritual dalam perundangan Islam yang tidak ada dalam undang-undang yang lain,” terangnya.

Menerangkan mengenai pelaksanaan hukuman, Tuan Guru memetik ayat "faiza qataltum faahsinul qitlah” bermaksud “apabila dibunuh, bunuh dengan baik”. Bermakna hendaklah dipilih cara yang tidak menyeksa, tidak menyakitkan orang yang dihukum dengan kaedah terbaik.

Budi Bicara Hukuman

Maka katanya, hukuman gantung mencekik yang ada pada undang-undang hari ini tidak sesuai dengan Islam. Begitu juga hukuman sebatan dalam Islam tidak sama sebatan dalam penjara hari ini. Walaupun disebut 100 sebatan, 80 sebatan, 40 sebatan, namun disyaratkan alat sebatan itu mesti tidak berat dan tidak ringan serta tidak boleh diangkat lebih tinggi daripada kepala. Namun disaksikan oleh orang ramai yang menimbulkan rasa malu dan menginsafkan. Tetapi, sekiranya orang yang dihukum itu dalam keadaan sakit, ia tidak boleh dihukum sehingga dia kembali sihat. Bahkan sekiranya berlaku keterlanjuran dalam sebatan itu, hendaklah dibayar pampasan.

“Berlaku peristiwa seorang yang disabitkan kesalahan zina patut disebat 100 sebatan. Dibawa kepada Nabi, dan Nabi kata 100 sebatan. Lalu diberitahukan wahai Rasulullah dia seorang yang kurus (uzur). Tinggal kulit dengan tulang sahaja. Kalau disebat kena tulang dia. Lalu Rasulullah kata ambil seberkas ranting jumlahnya 100 dipukul sekali sahaja dengan 100 ranting untuk simbolik ditengah khalayak ramai.

“Dalam Islam disebut fiqh aulawiyat (fiqh keutamaan) iaitulah keutamaan yang saya sebut tadi memelihara nyawa, akal, keturunan, harta. Sekiranya hukuman itu menyebabkan terjejas nyawa dia, kehidupan dia, dia tak tertanggung hukuman itu, maka memelihara nyawa lebih utama daripada memelihara maruah, akal. Maka hukuman disebut dengan 100 ranting disebat satu kali sahaja. Ini disebut fiqh aulawiyat. Ini adalah kaedah dalam Islam,” terangnya.

Pensyaratan Hudud

Jelas beliau lagi, dalam konsep melaksanakan hukum, walaupun ditetapkan sebegitu rupa menakutkan, namun Islam meletakkan konsep-konsep yang menjamin keadilan dan untuk mendidik masyarakat mencapai tujuan syariat itu. Di antaranya ialah mengenakan syarat-syarat yang ketat, misalnya dalam hukuman mencuri dipotong tangan, tetapi mesti diambil kira beberapa pertimbangan.

Harga nilai barang dicuri, tempat atau cara disimpan barang itu, keadaan pencuri. Jika yang dicuri itu tidak sampai nilai harga yang mahal ataupun disimpan bukan tempat sepatut ataupun pencuri mencuri kerana pendapatannya kecil, kerana lapar, gajinya murah, tidak cukup menampung kehidupan, maka tidak boleh dipotong tangan.

Diambil kira juga hubungan keluarga di mana sekiranya ada hubungan keluarga tidak boleh dihukum. Contohnya, anak curi barang ayah, ayah curi barang anak, adik curi barang abang, isteri curi barang suami.

“Begitu juga sekiranya barang-barang umum, misalnya rakyat mencuri barang umum. Curi kabel elektrik, tidak boleh dihukum Hudud kerana rakyat ada hak dalam kabel elektrik itu. Hukumannya Ta’zir. Bukan Hudud. Begitu juga curi balak di Malaysia. Hukumannya ialah Ta’zir bukannya Hudud,” jelas beliau.

Komitmen PAS Laksana Hudud

Menyingkap lembaran sejarah, Tuan Guru berkata, Undang-undang Jenayah Syariah dilaksanakan bersama dengan kedatangan Islam di Alam Melayu dahulu. Kerajaan Islam di rantau Asia Tenggara ini terbukti melaksanakan undang-undang ini sejak awal kedatangan Islam. Di Melaka ada Undang-undang Jenayah Hudud dan Qisas, di Terengganu ada Batu Bersurat yang mencatitkan undang-undang ini di mana ia berakhir tahun 1928.

“Apabila PAS melibatkan diri dalam arena politik Malaysia sejak mula mencapai kemerdekaan, PAS menyedari bahawa masyarakat Malaysia mengalami pemikiran Barat yang sangat tebal, jauh daripada syariat Islam. Maka PAS mengambil pendekatan memperkenalkan syariat Islam terlebih dahulu tanpa mengemukakan apa-apa cadangan untuk melaksanakan lagi di masa kita mencapai kemerdekaan tahun 1957.

“Di masa itu lawan PAS khususnya Umno kalangan orang Melayu Islam sendiri. Saya maafkan MCA, MIC, PPP, PAP kerana mereka banyak bukan Islam. Malangnya Umno sendiri yang orang Islam masa itu mencemuh PAS dan menakutkan masyarakat Melayu. Sekiranya PAS memimpin Negara maka banyak yang dipotong tangan kononnya Hudud untuk menakutkan masyarakat.

“Tahun 1959 kita menang di Terengganu, menang di Kelantan. Di Terengganu selama 2 tahun setengah dari tahun 1959 sehingga tahun 1961. Di Kelantan tahun 1959 sehingga tahun 1978. Kita tidak membawa undang-undang ini melalui Dun Kelantan dan Terengganu di masa itu. Kita mengambil pendekatan untuk memperkenalkan kepada masyarakat. Tahun 1970 selepas 13 Mei yang kita semua tahu peperangan kaum yang berlaku itu bukan sebab kami PAS, itu sebab Umno, sebab MCA di masa itu.

“Kami diajak masuk kerajaan dan masyarakat perlu tahu negeri Kelantan, Terengganu, Kedah negeri yang kuat PAS, tidak ada 13 Mei. Tahun 1970 kita dijemput untuk masuk kerajaan campuran. Di mana kita meletakkan lapan syarat. Dua yang penting ialah kita diizinkan untuk menerapkan Islam di dalam kerajaan. Yang kedua diizinkan untuk bercakap apa dia Islam dalam kerajaan,” cerita beliau.

Menurutnya, sekitar tahun 1970 hingga 1978 ketika PAS berada dalam kerajaan, PAS telah berjaya menyebarkan kefahaman Islam khususnya di kalangan pemuda dan mahasiswa universiti hingga tercetuslah kefahaman tentang Islam kepada orang Islam dan bukan Islam.

Tetapi tahun 1978 PAS dikeluarkan daripada BN, kemudian tahun 1990 PAS menang di Kelantan di susuli tahun 1999 menang semula di Terengganu. Ketika itu pegawai muda memegang jawatan penting, mahasiswa menjadi jentera kerajaan dan pemimpin masyarakat. Maka Islam makin meluas.

Tuntutan Melaksanakan Hudud

Tetapi ketika itu peningkatan jenayah memuncak di seluruh dunia bukan sahaja di Malaysia, bahkan di Amerika jenayah dihitung dengan kiraan minit. Berlaku pembunuhan, kekacauan, pecah rumah dan seumpamanya dari kelemahan dalam undang-undang yang ada pada hari ini. Maka terdapat desakan untuk memperkenalkan undang-undang Islam dan juga desakan Perdana Menteri masa itu.

“Tahun 1990-an dia mencabar kita mana undang-undang hudud? Perdana Menteri mencabar kita telah menang di Kelantan mana dia undang-undang jenayah? Kami nak tengok. Sila kemukan. Dia cabar lalu kita menubuhkan jawatankuasa untuk mengkaji undang-undang syariat di mana pihak pimpinan PAS telah menubuhkan jawatankuasa.

“Saya sendiri jadi Pengerusi, dianggotai oleh Ketua Dewan Ulama PAS, Almarhum Dato’ Harun Taib, Dato’ Halim Abdul Rahman Timbalan Menteri Besar Kelantan, Tun Salleh Abbas bekas Ketua Hakim Negara. Kemudian diikuti oleh Dato’ Wan Mutalib seorang peguam, Dato’ Halim bekas Penasihat Undang-Undang Negeri Kelantan.

“Kelantan juga membuat jawatankuasa bersama, Pengerusinya Timbalan Menteri Besar Dato’ Halim anggotanya ialah Qadi Besar Kelantan, termasuk Dato’ Halim Exco Negeri Kelantan bekas LA Penasihat Undang-undang, Professor Ahmad Ibrahim dan Professor Dr Saidon bekas Mufti Brunei menjadi ahli di mana kami telah menggubal undang-undang jenayah syariah pada tahun 1993,” ceritanya.

Undang-undang itu terangnya, dikemukan melalui proses demokrasi dengan terlebih dahulu melalui seminar yang dijemput parti-parti politik di Malaysia baik dari Kerajaan mahupun Pembangkang. Turut dijemput NGO-NGO Islam dan bukan Islam dari Kristian, Hindu, Buddha, Sikh. Dijemput datang seminar dan dibentangkan kepada mereka undang-undang jenayah ini dan PAS menerima maklum balas, komen dan pandangan-pandangan. PAS juga menerima NGO Antarabangsa yang mempertikaikan dan diterang kepada mereka hingga tergamam kerana mereka tidak tahu kelebihan hudud sebelum itu.

Kemudian barulah kita bawa ke Dun Kelantan kerana PAS mempunyai majoriti besar, juga di Dun Terengganu tahun 1999 ketika PAS punyai majoriti besar. Pun begitu, walaupun dilulus Dun, PAS masih mengalami masalah berhadapan Perlembagaan Malaysia. PAS masih belum dapat melaksanakan undang-undang ini kerana mengalami masalah perlembagaan. Mengikut politik undang-undang antarabangsa, tidak boleh melaksanakan sepenuhnya melainkan mesti ada lima syarat.

Ada negeri, PAS sudah ada Kelantan, Terengganu. PAS ada rakyat sama ada masyarakat majmuk ataupun tidak, PAS ada pemimpin yang ketiga. PAS ada undang-undang, tetapi tidak mempunyai kedaulatan sebagai sebuah negara yang mempunyai kuasa sepenuhnya.
Cabaran Pelaksanaan Di Malaysia

“Kita mengamalkan konsep federalisme, kita adalah sebahagian daripada Malaysia yang tidak ada kuasa sepenuhnya kerana masih ada masalah dalam perlembagaan. Kita tidak mahu keluar daripada Malaysia dan dikeluarkan daripada Malaysia macam Singapura. Saya tahu Lee Kuan Yew pun menangis apabila dikeluarkan daripada Malaysia. Saya baca tulisan dia tidak mahu keluar daripada Malaysia dan kita tidak berhasrat keluar daripada Malaysia. Kita mahu bersama.

“Dengan sebab itu pendekatan kita menyelesaikan masalah perlembagaan. Pertama perlembagaan Malaysia menyatakan Islam Agama Persekutuan. Agama-agama lain bebas diamalkan. Dalam masa yang sama jadual Ke-9 Perlembagaan Malaysia Akta 355 menyatakan bahawa undang-undang syariah tidak lebih daripada 3, 5, 6 iaitu 3 tahun penjara, RM5,000 denda dan 6 kali sebatan. Ini kuasa Mahkamah Syariah.

“Bagaimana Islam Agama Persekutuan sedangkan Mahkamah Syariah tidak ada kuasa? Agama lain bebas. Berlaku kontradiksi. Sebab itu kita kemukan usul di Parlimen untuk meminda Perlembagaan ini. Yang pertama jadual Ke-9 terlebih dahulu. 3, 5, 6 dihapuskan. Diberi kuasa untuk melaksanakan hukum sebatan mengikut hudud dengan adab dan syarat yang saya sebut dan begitu juga mengikut hukuman keampunan dan masalah Qisas dengan adab syarat yang disebutkan tadi.

“Mesti dipinda perlembagaan ini tanpa menyebut Hudud dan Qisas. Kalau dipinda perlembagaan ini secara automatik, maka sebahagian Hudud yang susah ini dapat dilaksanakan. Ini yang kita usulkan terlebih dahulu. Dan kita dalam tahun 1997 kita telah kemukakan di Parlimen tetapi mengikut peraturan Parlimen ‘standing order’ di Parlimen Malaysia, usul persendirian oleh bukan kerajaan hendaklah terlebih dahulu diusulkan oleh seorang Menteri di kerajaan yang mengizinkan usul ini dibawa dan disokong. Baru kita boleh bawa usul.

“Dan yang kedua setelah usul ini dibawa, maka perlu mendapat sokongan yang 14 orang kemudian diundi. Yang ketiga mestilah didahulukan agenda kerajaan. Tahun 1996 itu saya bawa usul ini diletakkan usul saya pada agenda yang Ke-30, sedangkan agenda kerajaan sekadar 15 sudah habis Parlimen menyebabkan ditangguh. Kali ini kita bawa usul melalui perundingan di antara Kerajaan Kelantan dengan Kerajaan Pusat untuk membawa usul ini dengan persetujuan Kerajaan Pusat untuk meminda bidang kuasa Mahkamah Syariah dan bidang kuasa Undang-undang Islam secara umum terlebih dahulu. Itu yang kita bawa,” terangnya.

1 orang berkata:

Anonymous said...

Org2 yg ngaku islam kat malaysia ni ja yg kebanyakan buta kayu ttg hudud.

free counters
 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 PakKaramu |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.