• najib tun m
 1 / 1 
SHAH ALAM - “Adakah bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad benar-benar mengambil berat tentang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) atau lebih mahukan tempat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak digantikan?”

Demikian reaksi Speaker Dun Sabah, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak ketika mengulas mengenai tindakan Dr Mahathir yang berterusan mengkritik cara Najib urus tadbir 1MDB yang terpalit pelbagai kontroversi.

Mengulas lanjut, Salleh mendakwa, isu yang dibangkitkan Dr Mahathir bukan lagi berkaitan 1MDB lagi.

Katanya, Dr Mahathir hanya mahu Najib melepaskan jawatan dan isu 1MBD ini digunakan sebagai alasan untuk menggulingkan beliau.

“Dr Mahathir tidak peduli jika 1MDB boleh menyumbang wang atau walaupun ia memperlihatkan ia telah membuat keuntungan.

“Malah, Dr Mahathir mahu Najib melepaskan jawatan sekarang sebelum penyiasatan itu memberikan laporannya,” katanya yang dipetik dari blognya, hari ini.

Terbaharu, Lembaga Tabung Haji (TH) mengesahkan badan berkanun itu telah membeli sebidang tanah bernilai RM188.5 juta di TTRX milik 1MDB bagi pembangunan sebuah menara kediaman.

Sebaik perkara itu tersebar melalui sebuah blog, orang ramai menyatakan kemarahan mengenai tindakan itu dan akhirnya menyebabkan TH membuat keputusan akan menjual semula satu plot tanah berkenaan.

Sementara itu Salleh menambah, kritikan terhadap 1MDB pada di peringkat awal sepatutnya berdasarkan ketelusan dalam organisasi yang diuruskan.

Katanya, walaupun Najib telah mengarahkan siasatan ke atas hal ehwal 1MDB dijalankan, tetapi masih serangan Dr Mahathir masih tidak berhenti.

“Dr Mahathir telah melancarkan ‘roadshow’ di seluruh Malaysia dan mengatakan Najib perlu disingkirkan ekoran kegagalan pengurusan dan kekurangan maklumat mengenai 1MDB.

“Jika beliau ikhlas ingin tahu lebih lanjut mengenai 1MDB, maka kenapakah beliau tidak mahu menunggu laporan siasatan yang akan dikeluarkan dan membuat keputusan selepas melihat laporan itu serta mengkaji sama ada semua dakwaan itu benar atau tidak?” soalnya lagi.