• Mahfuz OmarMahfuz Omar
 1 / 1 
SHAH ALAM - Ekoran kontroversi pembelian satu plot tanah di Tun Razak Exchange (TRX)‎ oleh Lembaga Tabung Haji (TH) daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bernilai RM188.5 juta, Pas akan menubuhkan satu jawatankuasa bertindak esok.

Ketua Penerangan Pas Pusat, Datuk Mahfuz Omar berkata, jawatankuasa tersebut berfungsi untuk mempertahankan hak pendeposit TH.

“Jawatankuasa bertindak itu nanti akan memantau, mengumpul maklumat, menganalisis dan bertindak demi mempertahankan hak para pendeposit TH daripada menjadi mangsa akibat kegagalan pihak kerajaan menguruskan 1MDB.

“Hakikatnya, isu TH ini bukanlah yang pertama, ia telah pun berlaku dahulu pada skandal Perwaja, MAS, PKFZ dan terkini Felda serta 1MDB ini,” katanya dalam kenyataan.

Khamis lalu, Timbalan Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Johan Abdullah mengesahkan badan berkanun itu telah membeli sebidang tanah di TRX milik 1MDB bagi pembangunan sebuah menara kediaman.

Kata Mahfuz lagi, jawatankuasa tersebut akan diwakili oleh tenaga pakar daripada pelbagai sektor dan wakil pendeposit TH.

“Isu ini perlulah dipandang serius oleh semua pihak kerana TH merupakan institusi mulia yang dimiliki umat Islam di negara ini.

“Amatlah tidak wajar sekiranya wang simpanan hasil titik peluh mereka digunakan untuk menyelamatkan syarikat bermasalah, 1MDB yang juga merupakan syarikat milikan kerajaan,” katanya lagi.