• Azmin AliMohamed Azmin (dua, kiri) pada sidang media selepas menyerahkan Sijil Layak Menduduki (CF) projek perumahan pangsapuri Sri Indah, Lestari Perdana, semalam.
 1 / 1 
SERI KEMBANGAN – PR akan mendedahkan beberapa lagi nama syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang dipercayai terlibat dalam usaha menyelamatkan 1MDB.

Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali mendakwa, beliau mendapat maklumat bukan TH sahaja tetapi ada syarikat GLC lain yang turut terlibat dengan jumlah wang besar untuk memulihkan 1MDB.

Beliau berkata, nama syarikat itu akan didedahkan selepas pihaknya mendapat maklumat terperinci mengenainya.

Katanya, pihaknya sudah beberapa kali dalam parlimen membangkitkan bahawa wang rakyat tidak boleh digunakan untuk memulihkan syarikat- syarikat yang dimiliki oleh kroni pemimpin.

“Tabung Haji perlu bertanggungjawab. Beri penjelasan kepada rakyat, sekiranya ada penyelewengan dalam hal ini, mereka yang terbabit mesti diheret ke mahkamah untuk diambil tindakan sewajarnya,” katanya.

Mohamed Azmin ketika ditemui di Taman Equine, Seri Kembangan semalam, kesal kerana wang rakyat digunakan dengan sewenang-wenangnya oleh orang tertentu kebelakangan ini.