• Kempen sudah di penghujung, penentuan esok Beberapa pegawai penjagaan pusat mengundi melekatkan poster Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan Seri Penanti, Kubang Semang di sini, hari ini. - Foto Bernama
1 / 1
BUTTERWORTH - Kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh memasuki hari ke-12 dan terakhir hari ini, dan esok merupakan hari penentuan calon yang bakal dipilih oleh 71,890 pengundi sebagai wakil rakyat baharu kawasan itu.

PRK Permatang Pauh menyaksikan pertandingan empat penjuru antara calon BN Suhaimi Sabudin, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (PKR), Azman Shah Othman (Parti Rakyat Malaysia) dan Salleh Isahak (Bebas).

Ramai yang berpendapat kehadiran Azman Shah dan Salleh tidak memberi kesan besar kepada pilihan pengundi dan sekadar memeriahkan lagi sistem demokrasi di negara ini, kerana saingan sebenarnya ialah antara Suhaimi, yang juga Setiausaha Umno Bahagian Permatang Pauh, dan Dr Wan Azizah yang juga Presiden PKR.

Sejak hari penamaan calon pada 25 April lepas, BN dan PKR bersungguh-sungguh melaksanakan kempen masing-masing bagi menambat hati pengundi.

Bagi PKR, Permatang Pauh adalah kubu kuat bekas penyandangnya Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang kini menjalani hukuman penjara lima tahun akibat kesalahan meliwat bekas pembantu peribadinya.

BN pula mahukan kemenangan di Permatang Pauh bagi membawa perubahan di kawasan itu, yakni pembangunan yang diperlukan para penduduknya.

Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyidddin Yassin dalam sidang media pada hari penamaan calon berkata cabaran yang perlu dilalui BN pada PRK Parlimen Permatang Pauh agak sukar dan diibaratkan seperti 'mendaki gunung'.

Selain BN bergerak sebagai pasukan yang padu, katanya tidak mustahil Suhaimi mencipta kemenangan kerana beliau adalah anak tempatan yang hatinya hanya di Permatang Pauh, sedangkan Dr Wan Azizah adalah orang luar yang menjadi "wakil suami".

Selain itu, ramai yang mempersoal kemampuan Dr Wan Azizah menjaga dua kawasan berlainan termasuk Dun Kajang di Selangor.

BN menekankan pentingnya Permatang Pauh mempunyai wakil rakyat daripada parti itu untuk memudahkan pembangunan dijalankan dengan lebih baik, sebagaimana yang dikecapi dua kawasan Parlimen BN iaitu Kepala Batas dan Tasik Gelugor.

Kegagalan kerajaan Pulau Pinang pimpinan DAP membangunkan Permatang Pauh terutamanya di dua kawasan Dun yang dianggap ketinggalan iaitu Penanti dan Permatang Pasir turut menjadi faktor mengapa para pendungi Permatang Pauh perlu memberi peluang kepada BN membawa perubahan.

BN juga meminta mereka menilai prestasi Dr Wan Azizah dan Anwar dalam tempoh 17 tahun mereka bergilir-gilir menjadi wakil rakyat di Permatang Pauh.

"Calon PKR bawa cerita emosi, raih simpati, seorang proksi, yang akan menghilangkan diri (nanti). Calon BN pula orang sini, tiap-tiap hari ada, nak beri khidmat bakti, akan tunai AkuJanji," kata Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang Datuk Zainal Abidin Osman dalam sidang akhbar di Pusat Operasi BN hari ini.

PKR dan Dr Wan Azizah pula banyak mendendangkan 'lagu-lagu' sama iaitu soal keadilan untuk Anwar selain membangkitkan tentang Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Sejak hari penamaan calon, BN lebih banyak 'menyerang' manakala PKR dan Pakatan Rakyat 'bertahan' untuk menjawab segala isu yang dibangkitkan oleh BN.

Sementara itu, penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani, isu pelaksanaan GST adalah satu isu nasional yang kesannya mungkin dirasai di semua peringkat.

BN perlu menerima hakikat bahawa isu GST boleh mempengaruhi pengundi di kawasan Permatang Pauh jika tidak ditangani dengan baik.

"Ada kesannya (GST). Parlimen Permatang Pauh boleh dikira satu kawasan bandar dan isu ekonomi agak kuat berbanding isu-isu lain," katanya. - Bernama